KUALA LUMPUR - Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang penubuhannya dipersetujui akan mengadakan pertemuan pertama pada awal tahun hadapan untuk mendengar taklimat mengenai kedudukan ekonomi semasa negara, pengurusan Covid-19 dan penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN berkata, Majlis Presiden itu akan bertemu dengan lebih kerap selepas ini.
"Saya merakamkan penghargaan kepada semua pimpinan parti yang telah sebulat suara mempersetujui pembentukan Majlis Presiden Kerajaan PN dan bertekad untuk mengorak langkah bersama demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Di samping itu, kami juga telah mempersetujui beberapa langkah ke hadapan termasuk penubuhan Sekretariat Setiausaha Agung parti-parti dalam kerajaan PN, penggubalan piagam antara parti yang akan dibincangkan di peringkat parti masing-masing dan persiapan pilihan raya," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau malam tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: Perikatan Nasional tubuh Majlis Presiden
Perikatan Nasional setuju cadang bentuk Majlis Presiden
Penubuhan Majlis Presiden PN cadangan UMNO: Ahmad Maslan
Perdana Menteri berkata, beliau berasa amat gembira dapat bersua muka dengan ketua dan pemimpin parti dalam kerajaan PN sewaktu perjumpaan yang berlangsung malam tadi dalam memastikan kestabilan politik negara serta menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.
Terdahulu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mesyuarat antara ketua-ketua parti dalam kerajaan PN hari ini bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Majlis Presiden Kerajaan PN bagi membincangkan dasar-dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan.
Mesyuarat itu dipengerusikan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Cadangan penubuhan Majlis Presiden zahir keterbukaan PM: Azmin