SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) melaksanakan Kempen MY2.5 sepanjang Disember ini untuk menggalakkan seluruh masyarakat yang layak untuk menunaikan kewajipan membayar zakat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M Yusop berkata, kempen menggunakan slogan ‘Sedikit bagi anda, Segalanya buat mereka’ itu bertujuan menyemai semangat kekitaan dalam bersama-sama mendepani pandemik Covid-19.
Menurutnya, kempen itu turut menunjukkan keprihatinan masyarakat yang masih mampu untuk mengeluarkan zakat walaupun dilanda pandemik Covid-19.
"Terma MY yang digunakan dalam kempen ini merujuk kepada pengeluar zakat manakala 2.5 pula merupakan kadar yang ditetapkan untuk berzakat.
"Menerusi MY2.5, LZS dapat membantu asnaf di Selangor yang dijangka bertambah kepada 80,000 orang susulan penularan wabak Covid-19,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat LZS di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Saipolyazan berkata, pihaknya menyasarkan kutipan berjumlah RM230 juta sehingga akhir Disember ini menerusi pelaksanaan kempen berkenaan.
Beliau berkata, LZS meletakkan sasaran tersebut berikutan jumlah penerima zakat yang dijangka bertambah pada akhir tahun ini dan memerlukan bantuan akibat Covid-19.
"Menerusi Kempen MY2.5, setidak-tidaknya golongan asnaf di Selangor akan dapat meneruskan kelangsungan hidup dan membangunkan diri serta keluarga terutamanya ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.
"Oleh itu, saya seru masyarakat yang layak berzakat agar dapat memanfaatkan tempoh yang ada ini untuk membuat pembayaran zakat menggunakan saluran pembayaran disediakan LZS,” katanya.
Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, LZS menyediakan beberapa kaedah pembayaran bagi memudahkan pembayar zakat sama ada menerusi pejabat cawangan, secara dalam talian, e-dompet, potongan gaji dan pelbagai platform lain.
Katanya, pengeluar zakat yang menunaikan zakat di LZS berpeluang menyertai peraduan Jom Bayar & Menang dan memenangi hadiah menarik yang disediakan sepanjang tempoh Kempen MY2.5 berlangsung.
"Maklumat terkini berhubung kempen ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi portal rasmi LZS di www.zakatselangor.com.my/my2point5 atau Facebook dan Instagram ZakatSelangor,” katanya.