Kematangan BN kukuhkan PN

Iklan
Ahmad Masrizal

SHAH ALAM – Kematangan Barisan Nasional (BN) membuat adaptasi dan juga pengolahan dalam kerangka politik baharu mampu menjadi kekuatan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Mantan Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, berdasarkan politik matang tersebut, beliau yakin persefahaman antara BN, khususnya UMNO bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikatakan bermasalah tidak akan berlarutan pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, proses itu tentunya mengambil masa dengan setiap pemimpin utama parti dalam PN perlu memainkan peranan yang akhirnya akan diterima akar umbi parti masing-masing.

"Sebenarnya perjalanan masih lagi panjang. Dengan keupayaan kematangan BN membuat adaptasi dan juga pengolahan politik dalam kerangka yang baharu, saya tidak nampak ia satu masalah yang besar pada masa akan datang.

Iklan

"Pada pandangan saya, pengukuhan akan terus berlaku antara BN dan PN berdasarkan elemen yang saya sebutkan tadi.

"Kekuatan BN ini mampu untuk memperkuatkan lagi perikatan dan mengukuhkan kedudukan politik yang sedia ada,” katanya.

Iklan
Ahmad Masrizal (dua dari kiri) ketika menjadi panelis Wacana Sinar Edisi ke-217 yang membincangkan tajuk PRU15: BN, PN Masih Tiada Persefahaman? yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Edisi ke-217 yang membincangkan tajuk PRU15: BN, PN Masih Tiada Persefahaman? yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

Program dikendalikan oleh Dr Noor Nirwandy Mat Noordin selaku moderator itu turut menampilkan Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad dan penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor sebagai panel.

Mengulas lanjut, Ahmad Masrizal berkata, usaha mencari persefahaman politik juga memerlukan nilai-nilai tersendiri yang harus dipersetujui bersama termasuk pengorbanan dan bertolak ansur antara satu sama lain.

"Bersatu juga berasal daripada tulang rusuk UMNO. Jadi dalam konteks ini untuk mencari kesefahaman bukan satu perkara yang besar bagi saya. Boleh dibuat bila-bila masa.

"Cuma soalnya adalah kesediaan. Buat masa ini, kesediaan itu dalam proses untuk dimantapkan antara satu sama lain. Sebab kita kena melihat agenda politik ini dalam satu kerangka yang besar dan tidak boleh hanya kepartian individu semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Masrizal berkata, kedudukan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk oleh UMNO dan Pas juga dilihat penting bagi pengukuhan MN.

"Ketika negara diperintah oleh PH, negara tidak stabil dari sudut ekonomi dan politik, maka MN telah mengambil tempat bagi mengimbangi keadaan itu.

"Jadi saya melihat MN penting dalam menentukan kedudukan PN. Kita tidak boleh tolak hakikat itu,” katanya.

Ahmad Masrizal juga yakin tidak akan berlaku pertembungan dalam isu pembahagian kerusi bagi PRU15 dengan menjadikan apa yang berlaku ketika PRN Sabah sebagai satu bentuk formulasi untuk PN bergerak ke hadapan.

"Pemimpin BN cukup matang dalam siri perundingan, kerusi Parlimen dan jentera yang masih berlangsung. Jika BN parti yang tak matang, sudah lama berlaku perpecahan. BN tahu cara bagaimana nak uruskan perkara ini,” katanya.