Gajah jantan musnah kebun ditangkap

Iklan
Gajah jantan liar yang berjaya ditangkap Perhilitan di Pasir Dula, Hulu Terengganu pada Selasa. - Foto Perhilitan

KUALA TERENGGANU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap seekor gajah liar dalam satu operasi di Kampung Pasir Dula, Hulu Terengganu pada Selasa.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, operasi menangkap gajah jantan liar itu dilakukan susulan aduan penduduk kampung selepas haiwan terbabit merosakkan kebun mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi bermula pada 14 Disember dan gajah dengan ukuran tapak kaki lebih 27 sentimeter itu berjaya ditangkap sehari kemudian.

"Operasi ini melibatkan enam kakitangan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Terengganu.

Iklan

"Gajah yang ditangkap berada dalam keadaan sihat dan pemantauan secara berterusan dilakukan di lokasi tangkapan sehingga haiwan ini dipindahkan ke habitat lain yang sesuai,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dr Abdul Malek, operasi menangkap dan memindahkan gajah liar merupakan jalan terakhir diambil selepas beberapa kaedah lain seperti tembak halau, memasang lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) dan pagar elektrik tidak berkesan.

Iklan

Beliau berkata, Perhilitan Terengganu merekodkan 17 operasi menangkap dan memindahkan gajah liar yang mengancam serta merosakkan tanaman penduduk di negeri tersebut sejak tahun 2018.

Katanya, lima pemindahan gajah dibuat pada tahun 2018, enam kes pada tahun 2019 dan enam pemindahan bagi tahun ini.

"Ini merupakan tangkapan baharu bagi tahun ini dan kita akan pindahkan gajah jantan ini ke habitat sesuai dalam masa terdekat,” katanya.