BAGI memudahkan pembinaan kilang baharu yang terletak di Techpark@Enstek, Bandar Baru Enstek, Seremban, Negeri Sembilan dan mematuhi pembangunan industri yang mesra alam, Lembaga Pengarah Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) menerima dan melaksanakan Perjanjian Pembiayaan Islamik Berkaitan Kelestarian bersama MUFG Bank (Malaysia) Berhad (MUFG).
AMB dalam satu kenyataan memaklumkan, kemudahan pembiayaan dengan jumlah pokok sehingga RM100 juta itu ditawarkan pada tempoh lima tahun bagi memenuhi sasaran prestasi kelestarian yang mematuhi Prinsip Pinjaman Berkaitan Kelestarian dikeluarkan oleh Persatuan Pasaran Pinjaman (LMA) dan Persatuan Pasaran Pinjaman Asia Pasifik (APLMA).
Menurut kenyataan itu, ia juga ditafsirkan supaya selaras dengan prinsip pembiayaan Syariah dan sasaran prestasi kelestarian namun tidak terhad kepada pengurangan Intensiti Pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG).
"Fungsi kemudahan Islamik Berkaitan Kelestarian bagi CAPEX mengesahkan secara dinamik bahawa tindakan AMB dalam Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dinilai dengan tinggi oleh MUFG.
"Pembiayaan ESG ini merupakan kaedah yang baik bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang amat digalakkan di peringkat global dan selaras dengan sentimen yang menjadi trend berikutan Persidangan Kemuncak Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (UN) pada tahun 2015," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, sasaran AMB bagi prestasi kelestarian kemudahan itu merangkumi pengurangan sebanyak 30 peratus dalam pelepasan GHG dari tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019 hingga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Kata kenyataan itu, ia selaras dengan sasaran yang dinyatakan oleh Ajinomoto Jepun dalam Buku Data Kelestarian bahawa sasaran kemudahan tersebut adalah menurut sasaran global.
"AMB telah menerima status 'Senarai Putih' daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai pengiktirafan atas komitmen penuh terhadap keperluan dan syarat pensijilan Halal Malaysia.
"Justeru, pembiayaan akan dilakukan di bawah skim pembiayaan Islamik yang memenuhi tujuan patuh syariah.
"Kemudahan pembiayaan ESG dapat meningkatkan pertumbuhan lestari AMB bagi mendatangkan prospek masa hadapan yang lebih baik, yang turut menguntungkan semua pihak berkepentingan," kata kenyataan itu.