Lebih 300 pelajar diculik Boko Haram dibebaskan

Iklan
Kumpulan militan Boko Haram didakwa menculik ratusan pelajar di timur laut Nigeria baru-baru ini. - Foto AFP

KANKARA - Lebih 300 pelajar lelaki dibebaskan semalam selepas didakwa diculik oleh kumpulan militan Boko Haram di timur laut Nigeria, kata beberapa pegawai.

Bagaimanapun, masih tidak jelas jika terdapat baki pelajar yang masih ditahan oleh kumpulan berkenaan.

Iklan
Iklan

Penculikan pada Jumaat minggu lalu di sebuah sekolah luar bandar di Kankara negeri Katsina itu pada mulanya didakwa dilakukan oleh kumpulan perompak.

Namun pada Selasa lalu, militan Boko Haram mengaku bertanggungjawab melakukan penculikan tersebut.

Iklan

Wilayah timur laut itu merupakan tempat pemberontakan ganas yang berlaku sejak satu dekad lamanya.

"(Seramai) 344 (pelajar itu) kini berada bersama agensi keselamatan dan akan dipindahkan ke Katsina pada malam ini," kata Gabenor negeri Katsina, Aminu Bello Masari.

Iklan

Dalam satu wawancara dengan stesen penyiaran NTA, beliau berkata:" Saya berpendapat kita sudah memperoleh semula kebanyakan daripada budak lelaki."

Selepas enam hari diculik, beberapa pegawai berkata, para pelajar tersebut telah dibebaskan.

Mereka yang dibebaskan akan diberikan rawatan perubatan sebelum disatukan semula dengan keluarga masing-masing, katanya.

"Ini merupakan satu kelegaan untuk negara dan masyarakat antarabangsa," kata Presiden Muhammadu Buhari menerusi Twitter.

Sebelum dibebaskan, satu rakaman video menunjukkan seorang remaja bercakap dalam bahasa Inggeris dan Hausa yang dapat dilihat oleh AFP berkata, dia merupakan antara 520 pelajar yang diculik oleh 'geng Abu Shekau.'

Remaja tersebut dikelilingi oleh sejumlah besar pelajar lelaki yang kelihatan amat muda di bawah sepohon pokok dan dilihat berada dalam keadaan letih.

Video itu yang dihantar kepada AFP juga mempunyai rakaman suara mirip ketua geng tersebut iaitu Abubakar Shekau yang menjadi dalang penculikan seramai 276 orang pada tahun 2014 di Chibok yang mencetuskan bantahan global.

Kumpulan militan Boko Haram kemudian mengaku bertanggungjawab dalam penculikan tersebut.

Sumber keselamatan memberitahu AFP pada Rabu lalu bahawa operasi itu dilakukan atas arahan Boko Haram manakala seorang samseng tempatan yang kejam dikenali sebagai Awwalun Daudawa telah bekerjasama dengan Idi Minorti dan Dankarami serta dua lagi

ketua penjenayah bersama pengikutnya bagi melakukan penculikan tersebut. - AFP