Pembentangan bajet paling tenang: MB Perak

Iklan
Saarani ketika bercakap pada sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Daruk Ridzuan, di sini hari ini.

IPOH - Pembentangan Belanjawan Negeri 2021 Perak kali ini adalah paling tenang apabila mendapat sokongan tanpa sebarang bantahan daripada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, masing-masing memberikan komitmen tinggi dengan membahaskan perkara-perkara yang menunjukkan kematangan sebagai wakil rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu bertepatan dengan intipati titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya pemimpin-pemimpin politik di negeri ini menghentikan budaya politiking dengan menjuruskan pemikiran ke arah pembangunan negeri serta kebajikan rakyat.

"Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada semua ahli Yang Berhormat daripada kedua-dua pihak kerana dalam tempoh ini menunjukkan kematangan politik yang tinggi.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan Perak 2021 lulus sebulat suara

"Saya dah lima penggal di Dewan Negeri, terasa inilah persidangan paling tenang dan saya sangat teruja dengan apa yang berlaku dalam tempoh persidangan ini.

Iklan

"Paling penting rakyat di luar sana ingin melihat komitmen tinggi wakil rakyat yang mereka pilih, berbanding keresahan dan kegelisahan menantikan tempoh pengundian.

"Di Dewan Rakyat menang tipis (undi Belanjawan) tetapi di Perak kita melakukan sebaliknya, kita mendapat sokongan 100 peratus, sebulat suara daripada 59 ADUN yang telah hadir," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Daruk Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata, belanjawan negeri kali ini juga adalah paling singkat dipersetujui untuk diluluskan apabila hanya mengambil masa sehari untuk perbahasan berbanding tiga hari sepertimana kebiasaan.

Katanya, semua 12 wakil rakyat iaitu enam di pihak kerajaan dan enam ADUN pembangkang yang mengambil bahagian dalam perbahasan telah berjaya memberi pengkhususan tinggi membawa dan membincangkan mengenai masalah di kawasan masing-masing.

"Semua mereka bangun dan bertanya serta beri pandangan dengan nada yang membuktikan mereka ingin sama-sama berikan komitmen bagi membantu kerajaan membangunkan negeri," katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Belanjawan Negeri 2021 berjumlah RM1.215 bilion secara sebulat suara.

Usul yang diluluskan di bawah Enakmen Perbekalan 2021 itu turut mencipta sejarah apabila mendapat sokongan 59 ADUN tanpa sebarang bantahan setelah dibentang dan dibahas selama dua hari bermula 16 Disember lalu.