MELAKA -"Doakan yang terbaik untuk kami," kata Muhammad Alhafiz Mohamad, 29, iaitu suami kepada Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, yang parah dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh, Perak pada Rabu lalu sehingga mengorbankan nyawa tiga anak mereka.
Muhammad Alhafiz turut meminta rakyat Malaysia mendoakan kesembuhan isterinya yang masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.
Juruteknik di sebuah syarikat swasta di Bukit Rambai di sini itu berkata, dia akan menguruskan beberapa hal di Melaka termasuk urusan sijil kematian anak-anaknya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum menemani isterinya di hospital.
Menurutnya, dia masih lagi sedih dan terkejut dengan pemergian kesemua anaknya dalam kemalangan itu dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemalangan itu.
"Doakan yang terbaik untuk kami dan saya harap janganlah buat sebarang spekulasi. Simpatilah dengan keadaan kami yang sedang melalui ujian berat. Maaf tak dapat berkongsi banyak," katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Taman Seri Jati, Batu Berendam di sini pada Jumaat.
Muhammad Alhafiz berkata, dia yakin isterinya seorang wanita yang kuat dan mampu menghadapi dugaan berat itu dengan tabah.
Anak keenam daripada lapan beradik itu juga berkata, dia sukar untuk melelapkan mata kerana mengenangkan gurauan, kemanjaan dan kepetahan ketiga-tiga anaknya itu yang sentiasa menceriakan rumah tangga mereka suami isteri.
"Perasaan sayu dan rindu sentiasa ada lebih-lebih lagi melihat pakaian anak-anak, barang dan permainan mereka dan anak-anak buah yang sebaya, lebih-lebih lagi ketika terpaksa berjauhan dengan isteri.
"Bila isteri semakin stabil nanti, saya akan memaklumkan sendiri kepada dia mengenai anak-anak agar emosinya tidak terganggu dan reda dengan apa yang berlaku," katanya yang berkahwin dengan Nur Aimi Nadiah kira-kira lapan tahun lalu
ARTIKEL BERKAITAN: Pilu seorang ayah hilang tiga anak sekelip mata
Pada Khamis, jenazah tiga beradik iaitu Muhammad Adam Hakimi, 7, Muhammad Lutfi Hakim Muhammad Alhafis, 3, dan Muhammad Affan Hafiy,1, disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Sungai Putat di sini.
Nur Aimi Nadiah yang kritikal dalam nahas itu masih tidak sedarkan diri akibat pendarahan serius termasuk patah tulang rusuk dan terpaksa ditidurkan sementara menunggu keadaannya stabil.