ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 7 Januari depan untuk pengurusan kes Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) termasuk pertubuhan itu sendiri.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, perkara itu dimaklumkan oleh peguam mereka selepas pihaknya memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.
Beliau berkata, Pejuang memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah kepada RoS untuk segera membuat keputusan terhadap permohonan parti tersebut.
"Melalui semakan kehakiman itu, Pejuang mohon satu perintah deklarasi bahawa kegagalan Ketua Pengarah dan RoS untuk menjawab permohonan kita atau komunikasi secara bertulis adalah tidak munasabah, dan mempunyai niat mala fide sengaja melengah-lengahkan proses permohonan pendaftaran Pejuang,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Amiruddin berkata, Pejuang sentiasa mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang dan membawa isu pendaftaran parti ke mahkamah untuk mendapat penghakiman yang seadilnya.
"Kita mahukan pencerahan berhubung status pendaftaran parti Pejuang sama ada diluluskan atau sebaliknya sebagai parti politik yang berdaftar melalui Akta Pertubuhan 1966,” katanya.
Sebelum ini, katanya, Pejuang telah mengemukakan permohonan secara rasmi kepada RoS bertarikh 19 Ogos 2020 bagi proses pendaftaran tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Pejuang fail permohonan semakan kehakiman