SOP Krismas: Kunjung-mengunjung hanya pada hari pertama

Iklan
Bahang perayaan Hari Krismas mula dirasai setelah pusat membeli-belah menghiasi setiap ruang dengan dekorasi perayaan Krismas. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Penganjuran rumah terbuka melibatkan orang ramai dan aktiviti nyanyian karol (caroling) dari rumah ke rumah sempena perayaan Krismas di semua kawasan adalah tidak dibenarkan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, peraturan itu merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Krismas kali ini dan aktiviti kunjung-mengunjung pula hanya dibenarkan pada hari pertama sambutan (25 Disember) di kawasan yang yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan dan PKP Bersyarat.

Iklan
Iklan

"Penganut Kristian hanya dibenarkan melakukan upacara sembahyang pada 24 dan 25 Disember di kawasan-kawasan yang dilaksanakan PKPP dan PKPB,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, sambutan hari pertama perayaan Krismas di rumah kediaman 'landed' adalah dibenarkan dengan kehadiran tidak lebih 20 orang yang terdiri dalam kalangan keluarga terdekat.

Iklan

Ismail Sabri berkata, bagi rumah kediaman strata dengan keluasan kurang 1,500 kaki persegi pula, jumlah tetamu dalam satu-satu masa tidak dibenarkan melebihi 10 orang, manakala maksimum 15 orang bagi kediaman dengan keluasan 2,500 kaki persegi ke atas.

Mengulas lanjut mengenai SOP di rumah ibadat sempena perayaan itu, Ismail Sabri berkata, kaunter saringan kesihatan pengunjung di pintu masuk perlu diadakan bertujuan mengehadkan bilangan kehadiran pengunjung, selain wajib memeriksa suhu badan dan saringan gejala.

Iklan

Katanya pada 24 Disember, upacara sembahyang perlu diadakan bermula jam 5 petang sehingga 9.30 malam dengan pembahagian dua sesi dengan setiap sesi selama satu jam 30 minit dan diselangi dengan operasi sanitasi selama 45 minit, sebelum memulakan sesi baharu.

"Pada 25 Disember pula, upacara sembahyang perlu diadakan bermula jam 7 pagi sehingga 1.45 tengah hari dengan pembahagian sebanyak tiga sesi sahaja (satu jam 30 minit setiap sesi) dan diselangi dengan operasi sanitasi selama 45 minit sebelum memulakan sesi baharu,” katanya.

Beliau berkata, upacara sembahyang di minor basilica, cathedral, gereja dan chapel hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP Pembukaan Rumah Ibadat yang telah ditetapkan dan tertakluk kepada keluasan ruang rumah ibadat tersebut dengan pematuhan penjarakkan fizikal.

Bagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) beliau berkata, upacara sembahyang dan aktiviti ziarah adalah tidak dibenarkan manakala sambutan perayaan dibenarkan bagi seisi keluarga dalam rumah yang sama sahaja. - Bernama