SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan cadangan membentuk gabungan baharu dalam kalangan parti pembangkang seperti memperlekehkan peranan Pakatan Harapan (PH) sebagai blok besar dan peneraju pembangkang.
Naib Ketuanya, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, beliau memandang serius dengan cadangan tersebut.
"Saya melihat cadangan itu seperti memperlekehkan peranan PH sebagai blok terbesar dan peneraju pakatan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: PH perlu anjakan politik baharu
Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan dua pemimpin utama PH yang mencadangkan agar gabungan itu membuat satu anjakan politik untuk menyatukan seluruh blok pembangkang.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama pada Khamis menegaskan, sudah tiba masanya untuk seluruh blok pembangkang bersatu demi membina kekuatan bersama yang ada atas landasan perjuangan bersama.
Mereka menegaskan, undian Belanjawan 2021 pada Selasa lalu mengajar PH supaya tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang dan tidak perlu membuang masa dengan ahli Parlimen kerajaan yang oportunis.
Sementara itu, Syed Badli berkata, peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sebelum ini telah membuka ruang kepada para 'pengkhianat' untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Menurutnya, peletakan jawatan Ahli Parlimen Langkawi itu sebagai Pengerusi PH juga telah meletakkan gabungan tersebut berada dalam keadaan tidak menentu.
"Kegagalan beliau (Dr Mahathir) sebagai peneraju PH adalah manifestasi kegagalan parti ini secara keseluruhan, sekali gus mencalar imej PH di mata rakyat.
"Sebaliknya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengambil alih kepimpinan PH telah berjaya memulihkan kembali pandangan umum terhadap PH di samping mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, adalah tidak wajar Anwar ditekan hanya kerana Belanjawan 2021 gagal ditolak, sebaliknya pembangkang seharusnya berterima kasih kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu kerana telah berusaha sehabis baik.