PASIR MAS - [DIKEMASKINI] Tiga beradik maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan yang masing-masing dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas berhampiran Kampung Bukit Tuku, di sini hari ini.
Mereka ialah, Fatin Arina Mohd Asri, 23, Haifa Amira, 22, dan Anis Suraya, 10, yang berasal dari Kampung Bukit Gading, Tanah Merah.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1 petang tadi.
"Siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Wira.
"Difahamkan kereta Proton Wira yang dipandu oleh seorang lelaki dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain dilaluan tersebut," katanya.
Menurutnya, bagaimanapun tindakan itu gagal menyebabkan kereta berkenaan telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Myvi.
Katanya, kesan itu menyebabkan berlaku kemalangan di antara kedua-kedua kenderaan tersebut.
"Akibatnya, dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penumpang Myvi meninggal di Hospital Pasir Mas.
"Pemandu Proton Wira dilaporkan sedang kritikal dan mendapat rawatan di hospital yang sama," katanya.
Abdullah berkata, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.