KUALA LUMPUR - Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah tiba di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di sini pada jam 7.50 pagi ini.
Jenazah akan dimandikan dan dikafankan di masjid berkenaan sebelum orang ramai dibenarkan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari ini.
Keadaan di masjid berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa ini.
Turut kelihatan di masjid tersebut ialah anak Allahyarhamah, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri keenam.
Orang ramai dilihat mula beratur di pekarangan pintu masuk masjid sejak jam 7 pagi sebelum dibenarkan masuk jam 9 pagi untuk memberi penghormatan dengan pematuhan SOP yang ketat.
Pihak media juga hanya dibenarkan membuat liputan di luar pintu masuk pekarangan masjid.
Selepas urusan penghormatan terakhir itu, jenazah Allahyarhamah Tun Rahah akan dibawa ke Masjid Negara bagi Istiadat Pengebumian Negara.
Jenazah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Tun Rahah, 87, sebelum ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia petang Jumaat.