SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) membantah dan kesal terhadap penganjuran Grand Final Gala Night bagi Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 yang akan diadakan di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2 Januari 2021.
Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, Yadim akan menghantar memo bantahan secara rasmi kepada penganjur dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Isnin ini sebagai bukti komitmen badan dakwah itu menentang sebarang penganjuran program yang tidak bermanfaat.
"Yadim yakin bahawa majoriti rakyat tanpa mengira agama dan bangsa tidak merestui program yang bukan sahaja tiada membawa manfaat kepada rakyat bahkan mengundang kemurkaan ALLAH,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Nasrudin berkata, penganjuran program seperti itu memberi isyarat yang salah kepada rakyat yang melambangkan seolah-olah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merestui program itu untuk disajikan kepada rakyat.
Menurutnya, Perdana Menteri serius dalam usaha membanteras segala aktiviti yang tidak menyumbang ke arah pembinaan akhlak dan adab yang terpuji.
"Dalam suasana menghadapi pandemik Covid-19, sebarang bentuk perhimpunan yang tidak mendesak harus dielakkan kerana risiko penularan tetap akan ada walaupun pihak penganjur memberi jaminan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Nasrudin berkata, sekiranya ingin dijustifikasikan penganjuran itu dengan menggalakkan aktiviti ekonomi dan sosial, pandangan ini adalah terlalu dangkal kerana kesan limpahan ekonomi daripada penganjuran seperti itu terlalu marginal sedangkan nilai murni sosial kita di Malaysia sentiasa dibanggakan dengan unsur kesopanan dan kesantunan akan semakin terhakis.
"Yadim menyeru agar perlu mengambil langkah memastikan program seumpama ini tidak dilaksanakan. Keutamaan majoriti rakyat kini adalah usaha mempergiatkan semula ekonomi demi kelangsungan hidup dan bukannya kepada penganjuran program yang sia-sia,” katanya.