Feri Pulau Pinang: Harap kerajaan Pusat pegang jaminan MOF

Iklan
Feri ikonik Pulau Pinang dikatakan akan ditamatkan perkhidmatannya dan digantikan dengan katamaran bermula Januari tahun depan. Gambar kecil: Zairil Khir Johari

GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang memohon agar kerajaan Pusat memegang jaminan yang diberikan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mengekalkan perkhidmatan feri di negeri ini.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memberi jaminan bahawa perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang tidak akan ditamatkan, sebaliknya akan diteruskan oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB).

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain itu, Kementerian Pengangkutan juga perlu menjelaskan status perkhidmatan feri berikutan berlaku percanggahan kenyataan yang dibuat oleh PPSB dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) sebelum ini.

Tambahnya, rancangan yang diumumkan oleh SPPP dan PPSB untuk menggantikan feri ikonik kepada katamaran tidak mengikut keputusan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah dahulu.

Iklan

"Rancangan yang diumumkan ini tidak mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Kerajaan PH yang telah bersetuju dengan rancangan penstrukturan semula ini dengan syarat perkhidmatan feri ikonik tidak ditamatkan.

"Malangnya, Kementerian Pengangkutan di bawah Perikatan Nasional enggan mengikut keputusan tersebut dan memilih untuk menamatkan perkhidmatan feri ikonik," katanya.

Iklan

Zairil berkata, kerajaan Pulau Pinang berharap agar kerajaan Pusat mempertimbangkan penambahbaikan dengan pembelian feri baharu yang serupa.

"Pada 2 Disember lalu, cadangan ini telah dibentangkan kepada mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang. Setelah mendengar pembentangan oleh SPPP, kerajaan negeri telah menyampaikan pendirian bahawa perkhidmatan feri ikonik hendaklah dikekalkan.

"Kita juga berharap agar kerajaan Pusat mempertimbangkan penambahbaikan dengan pembelian feri baharu yang serupa dengan feri RO-RO (roll-on, roll-off) sedia ada agar perkhidmatan feri bagi kereta dapat diteruskan," katanya.

Kelmarin, Tengku Zafrul pada sidang Dewan Rakyat berkata, PPSB akan ‘disyaratkan’ untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang sudah menjadi ikonik dan warisan di negeri ini buat masa ini.

Ia berikutan, kerajaan Pusat sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk PPSB mengendalikan perkidmatan feri itu.

Bagaimanapun, pengumuman itu menimbulkan persoalan kerana dilihat tidak selari dengan pelan penambahbaikan perkhidmatan feri yang diumumkan SPPP Selasa lalu.

Terdahulu, Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng mengumumkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari tahun depan yang mana, feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal.

Ini bermakna, kesemua kenderaan empat tayar tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif sebaliknya menggunakan dua buah jambatan sedia ada di negeri ini.

Menurutnya, PPSB akan menyediakan perkhidmatan katamaran untuk penumpang, motosikal dan basikal bagi menggantikan feri sebelum ini.