SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah dan turut berdukacita atas pemergian Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah.
Menurut kenyataan Selangor Royal Office yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasminya, Sultan Sharafuddin menyifatkan Allahyarhamah yang dikenali baginda sejak 1968, sebagai isteri terbaik kepada seorang Perdana Menteri dan ahli politik serta wajar dicontohi.
"Baginda mengenang kembali keperibadian Allahyarhamah yang mudah mesra dan sering tersenyum serta menjadi tulang belakang dan pendorong utama sepanjang karier politik Allahyarham Tun Abdul Razak semasa hayatnya.
"Baginda turut mengagumi ketabahan Allahyarhamah sebagai seorang ibu yang berjaya membesarkan anak-anaknya sejak kehilangan suami tercinta pada 1976,” demikian menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa sukacita apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Negara kepada Allahyarhamah di Makam Pahlawan, Masjid Negara yang disifatkan baginda satu penghargaan tertinggi selayaknya dengan jasa dan bakti Allahyarhamah.
"Baginda berdua mendoakan semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat menziarahi jenazah Allahyarhamah Tun Rahah di Masjid Ar-Rahah, Kerinchi.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Tengku Permaisuri Norashikin disambut oleh anak-anak Allahyarhamah iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Ahmad Johari dan Datuk Seri Nazir.
Tun Rahah, 87, yang menerima rawatan di Pusat Perubatan Prince Court di sini, meninggal dunia di pusat perubatan itu petang Jumaat. - Bernama