JERLUN - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan kerajaan pusat diminta campur tangan berhubung isu permohonan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Jerlun yang belum ada maklum balas sedangkan projek perumahan tersebut telah siap pada Julai tahun lalu.
Seorang wakil pemohon dikenali sebagai Mat Radzi Said berkata, penduduk masih belum mendapat maklumat mengenai penerima rumah berkenaan serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin turut melawat projek itu pada September tahun lalu.
Menurutnya, rata-rata penduduk kebanyakan adalah pemohon dan mereka berharap terpilih mendapat rumah PPR termasuk di PPR Jerlun.
"Sebagai penduduk Jerlun dan sekitarnya dalam daerah Kubang Pasu, kami terpanggil untuk meminta kerajaan negeri serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan mengenai proses pemilihan, temuduga, dan akhirnya proses serah kunci kepada pemilik belum dijalankan untuk PPR Jerlun.
"Kami juga terkilan kononnya senarai penerima untuk PPR Jerlun akan dirombak. Adakah ini kerana senarai nama ini tidak berkepentingan dan boleh ditolak untuk beri laluan kepada orang lain," katanya dalam sidang akhbar di PPR Jerlun, Ayer Hitam, dekat sini pada Sabtu selepas berhimpun bersama lebih kira-kira lebih 20 penduduk untuk memohon penjelasan.
Mat Radzi berkata, keadaan 300 unit rumah daripada 630 unit rumah PPR itu yang telah siap rosak, siling bocor, dinding retak, wayar elektrik tercabut dan dicuri.
Seorang lagi wakil penduduk, Abdul Wahab Abdul Rahman berkata, mereka antara penduduk yang menunggu sekian lama untuk berada di rumah yang selesa dan mohon Menteri Besar Kedah serta kerajaan pusat melihat nasib mereka.
"Kami minta kerajaan pusat dan kerajaan negeri mengambil maklum keluhan kami ini. Kami sangat berharap untuk memiliki rumah sendiri seperti orang lain. Adakah kami perlu mengemis untuk mendapatkan hak sendiri?
"Tolong selesaikan masalah ini dengan segera. Jangan aniaya kami. Jangan nafikan hak kami. Tunaikan tanggungjawab diamanahkan dengan cepat, adil dan saksama," katanya.