AMK Selangor setuju gabungan kerjasama tanpa Tun M

Iklan
Mohd Khairool Ngadon

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Selangor positif dengan cadangan pembentukan gabungan besar membabitkan parti pembangkang namun menolak penglibatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengarah Komunikasi AMK Selangor, Mohd Khairool Ngadon berkata, cadangan itu perlu dibincangkan secara lebih mendalam di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Iklan
Iklan

"Cadangan pengukuhan kerjasama di antara parti komponen PH melibatkan ahli Parlimen Bebas serta parti yang tidak pro-Perikatan Nasional ini perlu dibincangkan lagi.

"Bagaimanapun kami mengingatkan kerjasama yang dicadangkan tidak sama sekali melibatkan Dr Mahathir,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, PH sewajarnya belajar daripada kesilapan lalu.

"Jangan sesekali membiarkan pisang berbuah dua kali,” katanya lagi.

Iklan

Terdahulu, beliau berkata AMK Selangor turut bersetuju parti komponen PH memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama pada Khamis menegaskan, sudah tiba masanya untuk pembangkang bersatu demi membina kekuatan bersama yang ada atas landasan perjuangan bersama.

Mereka menegaskan, undian Belanjawan 2021 pada Selasa lalu mengajar PH supaya tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang dan tidak perlu membuang masa dengan ahli Parlimen kerajaan yang oportunis.