MELAKA TENGAH - Syarikat penerbangan Malindo Air dijangka akan memulakan dua laluan baharu ke Lapangan Terbangan Antarabangsa Melaka (LTAM) bermula 1 Mac depan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, dua perjalanan yang dipilih dari Kota Bharu, Kelantan dan Langkawi ke Melaka akan beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada hari Rabu, Jumaat dan Ahad.
Menurutnya, inisiatif yang dilakukan pihak penerbangan itu sentiasa dialu-alukan kerajaan negeri dan bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019) bagi menarik jumlah pelancong yang ramai sama ada dari dalam mahupun pelancong luar negara.
"Setakat ini hanya dua laluan sedia ada, Melaka - Pulau Pinang dan Pekan Baru.
"Dengan penambahan dua laluan baharu, sudah pasti akan memberi limpahan rezeki kepada penduduk tempatan selain meningkatkan sektor pelancongan negeri," katanya.
Mohd Sofi berkata demikian kepada pemberita di pejabat pengurusan MITC di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Mohd Sofi yang juga Adun Durian Tunggal berkata, setakat ini kerajaan negeri tiada perancangan untuk menambahkan panjang landasan LTAM memandang landasan sedia ada telah menepati keperluan penerbangan sesebuah pesawat untuk berlepas mahupun mendarat.
"Saya yakin, mereka yang mahu membina laluan di LTAM telah membuat kajian terlebih dan perancangan rapi dahalu sama ada landasan bersesuaian atau sebaliknya dan kerana sesuailah mereka memilih LTAM.
"Cuma yang ingin saya tekankan supaya usahawan-usahawan tempatan mengambil peluang berniaga di lot-lot perniagaan yang masih kosong di lapangan terbang itu supaya kawasan tersebut dapat dihidupkan dalam memperkasakan ekonomi rakyat dan tarikan kawasan itu," katanya.
Difahamkan mengikut perancangan, penerbangan OD1300 akan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Pertra, Kelantan pada jam 11.55 pagi dan dijangka tiba di LTAM pada 1.30 petang, manakala penerbangan OD1301 akan berlepas dari LTAM pada jam 1.50 petang dan dijangka tiba di Kota Bharu pada jam 3.15 petang.
Sementara bagi laluan kedua, OD1351 akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 12.05 tengah hari dan dijangka tiba di LTAM pada jam 1.45 petang.
Kemudian dikuti, penerbangan pulang dari Melaka ke Langkawi pada jam 2.05 petang dan dijangka tiba pada jam 3.45 petang mengikut penerbangan OD1350.