IPOH - Sistem Pengesanan Kanak-kanak dalam Kenderaan hasil ciptaan dua pelajar Kolej Vokasional Taiping berjaya memenangi pingat emas dalam Pertandingan Festival Anugerah Pencipta Antarabangsa ke-9 (WIAF) 2020 anjuran Korea Invention News (KINEWS) baru-baru ini.
Ciptaan Raja Nur Syafiqah Raja Shahidan dan Mardiana Mokhtar, kedua-duanya berusia 19 tahun yang merupakan pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Elektronik turut merangkul Anugerah Inovasi Elektronik Terbaik selain memenangi tempat keenam keseluruhan penyertaan inovasi.
Pengarah Kolej Vokasional Taiping, Kamarulzaman Nayan berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai keputusan itu menerusi e-mel pada 3 Disember lepas, manakala penyampaian hadiah diadakan di Seoul, Korea Selatan pada 13 Disember lalu.
"Disebabkan pandemik Covid-19, pertandingan itu tidak dijalankan seperti sebelum ini, sebaliknya permohonan dibuat secara dalam talian sebelum 10 November. Bagi pemenang yang tidak dapat hadir, keputusan dimaklumkan lebih awal menerusi e-mel.
"Pertandingan kali ini melibatkan 30 penyertaan dari pelbagai negara antaranya Kanada, India, Jepun, Poland, Taiwan, Sri Lanka, Thailand, Indonesia serta tuan rumah Korea Selatan dan Malaysia yang turut disenarai pendek sebagai 10 terbaik," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Bercerita mengenai inovasi itu, Kamarulzaman berkata, idea tercetus apabila pelajar terbabit mendapati berlaku beberapa insiden kanak-kanak terperangkap di dalam kenderaan sehingga ada yang maut.
"Menerusi sistem ini, pemberitahuan akan diaktifkan sebaik sahaja enjin kereta dimatikan dan kunci kereta dikeluarkan.
"Apabila sensor mengesan pergerakan dan suhu di tempat duduk belakang, pengguna akan menerima pesanan bergambar dan suhu melalui aplikasi Telegram di telefon bimbit atau komputer yang didaftarkan," katanya sambil menambah Kolej Vokasional Taiping turut menang pingat emas di WIAF tahun lepas.
Kamarulzaman berkata, ciptaan Raja Nur Syafiqah dan Mardiana dipilih daripada beberapa projek terbaik pelajar tahun akhir, selain turut memenangi pingat emas kategori inovasi dalam Pertandingan Penciptaan, Inovasi dan Reka Bentuk Pendidikan Maya Antarabangsa 2020 (iVEDIIC2020) anjuran Universiti Teknologi Mara bulan lalu.
"Saya berharap Kolej Vokasional Taiping dapat mengetengahkan lebih banyak projek yang berkualiti sebagai usaha merealisasikan impian dalam membudayakan inovasi yang merupakan antara agenda dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional," katanya. - Bernama