HULU SELANGOR - Mayat seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menjala ikan di Rumah Pam Empangan Air Selangor, di sini ditemukan hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, bilik gerakan menerima panggilan berhubung kejadian jam 2.11 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentosa digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, laporan dibuat oleh anak mangsa selepas bapanya, Mohd Rodzi Md Noor, 60-an, tidak pulang ke rumah sejak Jumaat selepas ke lokasi berkenaan.
"Kenderaan dinaiki mangsa masih terdapat di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, operasi pencarian diperluaskan hingga ke kawasan Bestari Jaya kerana dikhuatiri mangsa dihanyutkan arus deras.
"Operasi dilakukan secara 'surfing searching' dan dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
"Mangsa ditemukan jam 6.10 petang oleh pasukan bomba pada jarak 40 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh," katanya.
Katanya, mayat juga ditemui dalam keadaan tangannya tersangkut pada jaring di dalam air.