Tokoh sejarawan Kedah meninggal dunia

Iklan
Wan Shamsuddin Mohd Yusof

ALOR SETAR - Penasihat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusof, 88, meninggal dunia dipercayai akibat sakit tua di Kedah Medical Centre (KMC) kira-kira jam 6.15 petang tadi.

Pengerusi PSMCK, Dr Ibrahim Bakar berkata, bekas Pengerusi PSMCK berkenaan dipercayai kurang sihat lebih kurang seminggu lepas sebelum dimasukkan ke hospital swasta tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia agak terkejut menerima khabar pemergian tokoh sejarah Kedah itu memandangkan mereka masih berbual seperti biasa ketika bertemu kali terakhir baru-baru ini.

"Pemergian Datuk Wan Shamsuddin bukan hanya satu kehilangan besar untuk warga PSMCK, malah seluruh Kedah memandangkan beliau diibaratkan khazanah ensiklopedia sejarah.

Iklan

"Beliau amat mencintai sejarah dan dalam keadaan kurang sihat baru-baru ini pun Datuk Wan masih tetap berbincang tentang sejarah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, kehilangan sejarawan yang banyak menyumbang bakti dalam usaha memelihara dan memulihara sejarah di Kedah pastinya amat akan dikenang dan diingati sampai bila-bila.

Iklan

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau secara peribadi dan bagi pihak kerajaan negeri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Wan Shamsuddin atas kembalinya tokoh besar sejarawan Kedah itu ke rahmatullah.

"Sesungguhnya pemergian beliau merupakan suatu kehilangan besar yang sukar untuk dicari ganti memandangkan Wan Shamsuddin telah membuktikan kesungguhan dan minat yang sangat mendalam dalam bidang kaji selidik serta penghasilan artikel, jurnal serta buku-buku berkaitan sejarah negeri Kedah yang bernilai tinggi.

"Legasi yang beliau tinggalkan sepanjang menerajui PSMCK telah memberikan impak yang besar dalam penerokaan minat terhadap aktiviti pensejarahan dan kebudayaan masyarakat negeri ini," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, beliau berharap usaha bakti Allahyarham dibalas dengan sebesar-besar ganjaran pahala di sisi ALLAH SWT.

Wan Shamsudin merupakan pengkaji sejarah yang sememangnya tidak asing dan telah mengeluarkan beberapa buku sejarah, antaranya Kedah dalam Warisan Sejarah dan Budaya Nusantara.

Beliau antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam penemuan sejarah generasi ketujuh Mahsuri, Wan Aisyah di Kampung Kemala, Phuket, Thailand pada 1988 ketika menjadi Pengerusi PSMCK.

Di bawah pimpinannya, PSMCK membuat beberapa penemuan penting seperti makam dipercayai milik Sultan Kedah pertama, Sultan Al-Mudzaffar Shah I; Sultan Kedah ke-14, Almarhum Sultan Muhyidin Mansor Shah; Sultan Kedah ke-16, Almarhum Sultan Ataullah Muhammad Syah II dan Sultan Kedah ke-19, Almarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II.