ALOR GAJAH - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyalurkan bantuan kepada 20 penerima khususnya golongan nelayan bagi meringankan beban mereka yang terkesan ekoran penularan Covid-19 di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat Masjid Tanah, di sini hari ini.
Sumbangan menerusi Program Bulan Dakwah 2020 Is'ad Al-Usrah dan Musaadah itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan turut dihadiri Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan.
Penerima bantuan, Hahnizainizam Hasan, 43, berkata, beliau bersyukur menerima bantuan membaiki bahagian atap dan dapur rumahnya serta enjin bot baharu bernilai keseluruhan RM14,500.
"Dah tiga tahun kami hidup dalam keadaan tidak selesa dan tenteram terutama apabila hari hujan dan ribut. Bahagian atap banyak mengalami kerosakan dan bocor menyebabkan saya terpaksa menadah air hujan menggunakan besen dan botol kosong.
Alhamdulillah dapat enjin baharu juga. Kalau hendak kumpul duit membeli enjin baharu saya tidak tahu sampai bila akan dapat turun ke laut dengan bot sendiri," katanya yang telah menjadi nelayan sejak lebih enam tahun lepas.
Bapa kepada empat anak berusia tiga hingga 12 tahun itu berkata, enjin bot baharu yang diterima akan dijaga sebaik mungkin dan beliau tidak sabar turun ke laut mencari rezeki untuk keluarga.
Katanya, sejak Mei lepas, beliau tidak dapat turun ke laut kerana enjin bot miliknya rosak sekali gus menjejaskan pendapatannya namun bernasib baik kerana mempunyai pekerjaan sambilan sebagai pengutip telur penyu di bawah Jabatan Perikanan selain sekali-sekala menjadi peneman rakan yang turun ke laut.
Terdahulu, Zulkifli ketika berucap pada program itu berkata, semua agensi agama di bawahnya akan berkolaboratif dengan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu dan turun padang dalam memastikan aspek kebajikan rakyat khususnya umat Islam yang terjejas ekoran penularan Covid-19 dapat dibela.
Beliau berkata, lebih RM360 juta telah diagihkan kepada ribuan keluarga yang terjejas di seluruh negara ekoran penularan Covid-19 dalam tempoh Mac hingga November lepas. - Bernama