Pembangkang perlu bentuk Kabinet bayangan: IDEAS

Iklan

SHAH ALAM - Pembangkang digesa supaya membentuk sebuah Kabinet bayangan dan memberikan tumpuan kepada pembangunan dasar yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari berkata, pembentukan Kabinet tersebut merupakan langkah penting dalam usaha menawarkan cadangan alternatif yang konkrit kepada rakyat.

Iklan
Iklan

Katanya, penubuhan Kabinet sebegitu turut mampu menyelesaikan ketidaktentuan politik dalam kerajaan yang sedang berlaku pada ketika ini.

"IDEAS menyarankan supaya pembangkang membangunkan idea dasar untuk menangani masalah pengangguran, menghidupkan semula ekonomi, meningkatkan tadbir urus baik dan pengawalan Covid-19.

Iklan

"Tahun ini merupakan kali pertama dalam beberapa tahun belakangan ini Pakatan Harapan (PH) sebagai pembangkang tidak membentangkan belanjawan bayangan. Hanya apabila pembangkang mencadangkan idea dasar yang konkrit yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat, barulah mereka akan memenangi kembali kepercayaan rakyat, ” katanya dipetik sebuah portal berita tempatan hari ini.

Azira berkata, setiap kementerian yang bakal ditubuhkan dalam Kabinet bayangan perlu diketuai oleh sekurang-kurangnya seorang ahli Parlimen.

Iklan

Menurutnya, pembangkang sebagai sebuah institusi semak dan imbang dalam sistem demokrasi di Malaysia hanya akan berjaya sekiranya ia dipandu oleh perbezaan yang produktif yang berpandukan kepada penciptaan dasar yang menyelesaikan masalah rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan yang ketika ini memiliki majoriti tipis akhirnya akan perlu diuji menerusi pilihan raya umum yang akan datang.

"Ini kerana majoriti tipis pihak kerajaan hanya akan memanjangkan ketidakstabilan yang sedang hadapi, justeru mandat perlu dipulangkan kepada rakyat untuk memilih kerajaan seterusnya,” katanya.