Cuba nasib beli saham 10,000 Pound

Iklan
Nazarry Rosli

SEBUT sahaja mengenai saham, pastinya Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli menjadi sebutan kerana kepakaran dan kejayaannya mendidik masyarakat untuk celik saham menerusi jelajah ke seluruh negara.

Di sebalik kecekapannya dalam bermain angka dan ketajaman matanya melihat turun naik graf di papan bursa saham sejak 30 tahun lalu, beliau juga meminati aktiviti kembara dan gemar menghabiskan masa bersahabat dengan alam semula jadi.

Iklan
Iklan

Tidak hairanlah dek kerana minatnya melihat keindahan alam, sejak muda lagi Nazarry telah menakluki bumi Britain hanya dengan berbasikal dan menjelajah negara India dengan menaiki kereta api selain berkelana ke beberapa negara Eropah.

Nazarry yang juga Pengasas Akademi Nazarry Rosli berkata, mengembara di bumi asing memberikan kepuasan kepadanya, namun perkara itu berubah selepas beliau melihat dan menikmati sendiri keindahan serta keunikan hutan Khatulistiwa di tanah air sendiri.

Iklan

"Benar kata orang, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Pengalaman memasuki hutan dan kawasan pedalaman di negara ini memberikan kepuasan.

"Keindahannya sukar diungkapkan, kehijauan yang memberikan kedamaian. Walaupun ‘hijau’ di papan bursa sentiasa menjadi buruan untuk mencipta untung, namun pemandangan hijau di bumi Malaysia ini luar biasa,” kata beliau.

Iklan

Pada usianya yang hampir enam dekad, Nazarry masih meneruskan aktiviti mendaki gunung, berkhemah dan mengembara di dalam hutan. Beliau juga menjelajah ke kawasan pedalaman yang kurang kemudahan asas dan jauh daripada kesibukan kota.

Menurut Nazarry, 57, beliau mula berjinak-jinak dengan dunia saham ketika belajar di Universiti Aberdeen, Scotland selepas perlu mempelajari subjek pelaburan saham.

"Saya melihat potensi pelaburan saham yang cerah. Malahan, minat terhadap saham semakin bercambah apabila berpeluang menonton filem Wall Street pada tahun 1987 yang menampilkan Gordon Gekko lakonan Michael Douglas yang menjadi broker saham berjaya.

"Ia menyuntik semangat saya untuk terus menjadi broker saham terhebat. Ketika masih belajar, saya mengambil risiko melabur saham sebanyak 10,000 Pound Sterling di London Stock Exchange. Wang itu adalah pemberian arwah emak,” katanya.

Katanya, selepas tamat belajar, beliau kembali ke Malaysia. Pada masa itu berlaku krisis ekonomi yang menyebabkan ramai siswazah menganggur pada akhir 1980-an.

"Kerajaan menawarkan Skim Khidmat Sementara kepada siswazah dengan gaji RM400 tetapi saya ialah siswazah luar negara.

"Pada waktu itu, mereka yang berkelulusan diploma ditawarkan gaji RM800 manakala yang berkelulusan ijazah ditawarkan gaji bermula RM1,200.

"Saya mengambil keputusan bekerja sendiri dengan melakukan pelbagai pekerjaan antaranya menjadi penjual insurans. Pada tahun 1990, saya mendapat lesen remisier sehinggalah kini,” ceritanya.

Kenangan pahit

Menurut Nazarry, sepanjang bergelar remisier, pelbagai kenangan pahit dan manis ditempuhnya.

Antaranya peristiwa tahun 1993 yang digelar ‘Super Bull Run’ susulan pasaran saham naik disebabkan banyak projek mega dilaksanakan kerajaan.

"Saya merasai nikmat limpahan pembangunan pesat Malaysia dalam membentuk pasaran saham maju dan berkembang. Harga saham naik paling tinggi ketika ‘Super Bull Run’.

"Siapa yang membeli saham apa sahaja pada masa itu adalah menguntungkan, tidak seperti sekarang pasaran saham tidak menentu,” katanya.

Selain itu, beliau turut merasai ‘Black Monday’ di United Kingdom pada tahun 1987, ‘Krisis Kewangan Asia’ pada 1997 dan 1998 yang berpunca daripada krisis mata wang serta ‘Subprime’ di Amerika Syarikat pada 2007 dan 2008.

"Kitaran krisis ekonomi akan berlaku setiap 10 tahun. Selepas tiga kali terjadi, kita menjangka akan berlaku pada 2018 tetapi ia tidak menjadi.

"Bagaimanapun, pada tahun 2020, pandemik Covid-19 menyebabkan pasaran saham jatuh teruk di seluruh dunia. Saya melalui empat kali krisis ekonomi tetapi terus bertahan,” ujarnya.

Menurut Nazarry, bergelumang dalam pasaran saham selama lebih 30 tahun banyak memberikannya pengalaman dan pengajaran berharga, menyebabkan beliau tidak lokek berkongsi mengenai kepentingan melabur saham dengan orang ramai.

"Saya berhasrat untuk membantu orang ramai kerana saya dahulu bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri tetapi tidak menjadi kenyataan.

"Saya terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana perlu menumpukan perhatian kepada tiga cahaya mata selepas bergelar bapa tunggal,” katanya yang menjangkakan ekonomi akan mula rancak berkembang pada suku ketiga atau keempat tahun 2021.

Menurutnya, dengan adanya vaksin untuk mengatasi Covid-19, ia akan membantu memulihkan ekonomi, malahan unjuran Belanjawan 2021 dilihat positif yang akan memacu semula ekonomi.

Katanya, ketika ini adalah masa terbaik untuk membeli saham tetapi pelabur dan bakal pelabur perlu memastikan mereka memilih sektor yang boleh berkembang maju.

"Apabila ekonomi dibuka semula, sektor penerbangan, pelancongan dan teknologi maklumat akan terus malar segar manakala sektor pembinaan dijangka memberikan pulangan yang besar,” katanya.