Cadang wujudkan bangsa Kedah

Iklan
Johari dan Mukhriz

ALOR SETAR - Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul mencadangkan agar diwujudkan bangsa Kedah dalam mengekalkan keharmonian pelbagai kaum di negeri ini.

Menurutnya, punca utama kepada kekalutan yang berlaku dalam masyarakat kini adalah disebabkan terlalu taksub terhadap sentimen politik.

Iklan
Iklan

Katanya, rakyat Kedah seharusnya mencontohi konsep bangsa Johor, yang telah lama menjadi teras penting dalam penyatuan seluruh rakyat negeri itu.

"Saya mengajak rakyat Kedah, kalau boleh kita bangunkan negeri ini sebagai satu bangsa. Kalau di Johor ada bangsa Johor, kita pula wujudkan bangsa Kedah, maknanya untuk kita rapatkan saf tanpa mengira parti,” katanya.

Iklan

Menurutnya, segala permasalahan, pertelingkahan dan perbezaan fahaman politik yang wujud sebelum PRU14 harus dilupakan.

"Sudah tiba masa, seluruh rakyat negeri ini kembali sepakat serta harmoni bagi mewujudkan suasana aman. Kedah perlu wujudkan bangsa Kedah untuk kekalkan keharmonian antara kaum seperti satu keluarga,” katanya.

Iklan

Johari berkata, fakta sejarah membuktikan kesultanan dan kepimpinan Kedah mendukung dan menganggotai kewujudan Persekutuan Tanah Melayu 1948, Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan penubuhan Malaysia 1963.

"Ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, rakyat Kedah bersatu untuk serlahkan daya saing Kedah dalam negara mahupun antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri diharap tidak memandang sebelah mata terhadap cadangan atau idea bernas dicadangkan Adun terutama dari blok pembangkang dalam memajukan Kedah.

"Proses ‘check and balance’ akan lebih efektif jika cadangan itu dibincangkan secara baik antara kerajaan dan pembangkang. Ia bukan mustahil dicapai kerana rakyat telah dididik menerusi sistem persekolahan yang menekankan perpaduan, keselamatan dan kedaulatan negara berbanding semangat kenegerian,” katanya.

Sementara, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan tiada keperluan untuk wujudkan bangsa khusus seperti bangsa Kedah.

"Kita adalah rakyat Malaysia cuma dari negeri-negeri berbeza. Malaysia adalah negara dan Kedah sebagai negeri, sifat kenegerian itu mesti ada had, usah terlampau sehingga ketepikan perpaduan dalam negara,” katanya.

Menurutnya, perkataan bangsa Kedah juga tiada dalam sejarah negeri ini mahupun dinyatakan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah.

"Difahamkan dalam perlembagaan Johor memang disebut bangsa Johor, tetapi dalam perlembagaan Kedah tidak ada,” katanya.