BANGKOK - Thailand merekodkan lebih 500 kes Covid-19 semalam, peningkatan harian tertinggi di negara ini sejak penularan wabak itu Januari lepas dengan semua kes berkait dengan penjual udang berusia 67 tahun di sebuah pasar di Samut Sakhon, dekat sini.
Setakat ini, sejumlah 548 kes dilaporkan daripada kluster ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata sejumlah 1,192 orang menjalani saringan Covid-19 di Samut Sakhon dan 516 didapati positif jangkitan virus itu.
"Kebanyakan daripada pesakit baharu adalah pekerja asing dan tidak bergejala,” kata beliau dalam satu sidang media malam ini.
Beliau juga mengumumkan Samut Sakhon dikenakan sekatan kawalan pergerakan separa mulai hari ini sehingga 3 Januari 2021.
Beliau menggesa penduduk Samut Sakhon agar tidak melakukan perjalanan yang tidak perlu.
Selain itu, katanya sekolah dan universiti di wilayah ini ditutup sementara.
"Mereka yang pergi ke pasar udang mulai 1 Disember perlu menjalani kuarantin kendiri," tambahnya.
Sejak pandemik Covid-19 menular pada Januari, kenaikan harian tertinggi yang dicatatkan setakat ini adalah 188 kes pada 22 Mac.
Terdahulu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissnuyothin berkata seorang wanita berusia 67 tahun, yang menjual udang di pasar dan tidak pernah ke luar negara disahkan positif pada 16 Disember.
Susulan pengesanan kontak, ibu wanita itu berusia 95 tahun, kakak berusia 73 tahun, adik ipar wanita berumur 57 tahun serta lima pekerja tempatan dan asing diuji positif, katanya.
Setakat ini, Thailand mencatat lebih daripada 4,800 kes dengan 60 kematian akibat virus itu. - Bernama