Cubaan seludup daging beku musim banjir gagal

Iklan
Anggota PGA Batalion 7 Kuantan merampas lebih 1.67 tan daging beku yang cuba diseludup ke negara jiran semalam.

RANTAU PANJANG - Cubaan menyeludup lebih 1.67 tan daging beku ke negara jiran pada musim banjir menggunakan laluan tidak sah gagal selepas berjaya dipatahkan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan pada Sabtu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan daging berjumlah RM46,972.80 itu dilakukan di Kampung Bukit Lata, Jeram Perdah di sini pada jam 9.48 malam.

Iklan
Iklan

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk van dianggar berjumlah RM66,972.80," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, semasa melakukan rondaan rutin berhampiran pangkalan haram Jitong, anggota PGA Batalion 7 telah ternampak dua lelaki sedang memunggah kotak dari sebuah van.

Iklan

"Dua lelaki itu terus melarikan diri dengan menggunakan van tersebut sejurus anggota PGA menghampiri kenderaan tersebut.

"Anggota PGA kemudian mengekori van itu sebelum mereka berhenti di Kampung Bukit Lata, Jeram Perdah dan melarikan diri," katanya.

Iklan

Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam van itu menemui pelbagai jenama daging sejuk beku yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

"Siasatan awal mendapati daging tersebut cuba diseludup ke negara jiran menggunakan jalan tidak sah bagi mengelakkan bayaran cukai.

"PGA juga tidak menolak kemungkinan daging itu untuk pasaran tempatan di negara jiran," katanya.