Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, siasatan yang dilakukan mendapati, pegawai jabatan yang bertemu dengan komuniti Orang Asli di situ bertindak memberi penerangan mengenai akiviti pembalakan di kawasan berdekatan.
"Sepanjang berurusan dengan bantahan itu, Jabatan Perhutanan Negeri tidak pernah menggunakan sebarang ugutan atau kekerasan ke atas mana-mana pihak.
"Bagaimanapun, kita sedia memberi kerjasama untuk membantu siasatan memandangkan laporan polis berhubung perkara ini telah dibuat oleh wakil penduduk," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal bahawa wakil syarikat dan Jabatan Perhutanan memberi amaran dan memaklumkan akan mengunakan cara kasar jika aktiviti pembalakan dihalang penduduk.
Sekatan dibuat penduduk selepas mendakwa aktiviti pembalakan yang dijalankan sejak pertengahan Januari itu menyebabkan penempatan dan tanah adat mereka diceroboh selain kehilangan sumber hutan.
Isu itu turut menarik perhatian Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) yang menyifatkan aktiviti pembalakan di Perak adalah berleluasa.
Mengulas lanjut, Mohamed Zin berkata, aktiviti pembalakan yang diluluskan di situ adalah di kawasan Hutan Simpan Air Chepam dan bukannya terletak dalam kawasan tanah adat seperti yang didakwa.
Menurutnya, jabatan telahpun mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan Majlis Tanah Negara iaitu seluas 7,744 hektar setahun dengan mengamalkan pembalakan terpilih atau ‘selective logging’.
"Menerusi catuan itu, hanya pokok-pokok yang menepati piawaian dibenarkan ditebang selepas melalui proses ‘tagging’.
"Justeru, dakwaan Peka kononnya aktiviti pembalakan di Perak tidak terkawal adalah tidak berasas sama sekali," katanya.