KOTA BHARU - Kerajaan akan memanggil seorang wanita yang berkahwin dengan pemain hoki India bagi mendapatkan penjelasan berhubung status agama pasangan berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, wanita tersebut akan dipanggil setelah pulang ke negara ini.
Menurutnya, pihaknya kini masih menunggu maklumat rasmi daripada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) berhubung status sebenar agama wanita terbabit.
"Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, wanita berkenaan masih seorang Muslim dan setakat ini, tiada permohonan diterima untuk menukar agama.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu agama wanita kahwin pemain hoki India dalam siasatan
"Begitu juga dengan permohonan berkahwin di luar negara. Kita juga tidak menerima sebarang permohonan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengagihan Bantuan Musim Tengkujuh kepada Nelayan dan Petani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor di sini hari ini.
Mengulas lanjut Marzuk berkata, berdasarkan pembacaan beliau di media sosial difahamkan wanita berkenaan masih beragama Islam, manakala lelaki itu pula dipercayai sudah memeluk Islam akhir tahun lalu.
Namun begitu, katanya, penjelasan sebenar akan diperoleh melalui pengakuan yang akan dibuat wanita itu setelah tiba di Malaysia.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan seorang pemuda yang juga pemain hoki di India dipercayai melangsungkan majlis perkahwinan dengan pasangannya dari Malaysia.
Pasangan tersebut yang bercinta sejak lapan tahun lalu itu dikatakan mengadakan majlis resepsi di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.
Pemuda berusia 28 tahun itu dilihat mengenakan sut perkahwinan punjabi, manakala isterinya memakai pakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.
Mengulas lanjut mengenai majlis resepsi tersebut, Marzuk berkata, ia bercanggah dengan ajaran Islam kerana terdapat unsur agama lain.
"Kita memahami kegusaran masyarakat berhubung perkara berkenaan kerana ia agak sensitif. Namun setakat ini kita bersangka baik dan mengandaikan wanita itu masih Islam,” katanya.