JOHOR BAHRU - Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Johor Bahru di bandar raya ini yang ditutup sementara sejak 6 Disember lalu akan beroperasi semula seperti biasa pada Isnin.
KWSP dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan pembukaan semula pejabat berkenaan melibatkan kesemua operasi dan perkhidmatan yang bermula pada jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Menurutnya, penutupan pejabat KWSP tersebut sebelum ini berikutan terdapat seorang kakitangannya yang positif Covid-19.
"Penutupan sebelum ini berikutan arahan Kementerian Kesihatan bagi pelaksanaan kerja disinfeksi dan sanitasi mengikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya.
Terdahulu tular sebuah rakaman video menunjukkan seorang pegawai dipercayai pengawal keselamatan membuat pengumuman menggunakan pembesar suara di hadapan pintu masuk KWSP Johor Bahru.
"Terdapat anggota (kakitangan) KWSP positif Covid-19, anda tidak digalakkan berurusan di KWSP Johor Bahru," katanya dalam rakaman video berkenaan.
Menurut kenyataan tersebut, orang ramai disarankan untuk membuat janji temu menerusi di www.kwsp.gov.my/ms.janjitemu sebelum hadir untuk berurusan di kaunter.
"Pengunjung juga diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP ditetapkan dalam normal baharu sebagai langkah pencegahan," katanya.