MARANG – Kerajaan Terengganu bercadang menjadikan pertandingan sukan luncur ombak atau Terengganu Monsoon Surfing sebagai acara tahunan bagi aktiviti sukan ekstrem sempena musim tengkujuh di Terengganu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, penganjuran sukan luncur tahun ini pertama kali diadakan bersesuaian dengan musim monsun yang sedang melanda Terengganu sekaligus menampilkan kelainan berbanding sebelum ini.
"Ramai yang menganggap Terengganu bukan destinasi pelancongan yang sesuai apabila tiba musim hujan, apa yang kita cuba tonjolkan di sini ialah Terengganu sesuai dikunjungi pada bila-bila masa.
"Jika tidak boleh ke pulau-pulau disebabkan perubahan cuaca dan ombak besar, kita ada pelbagai lagi lokasi yang mempunyai tarikan termasuk lokasi sukan luncur ombak,” katanya ketika ditemui pemberita ketika meninjau lokasi pertandingan itu pada Sabtu.
Ariffin berkata, Terengganu Monsoon Surfing 2020 yang diadakan selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Disember menyaksikan penglibatan seramai seramai 65 peserta dari Terengganu, Pahang, Langkawi dan Johor.
Beliau berkata, acara yang dianjurkan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kelab Motor Terengganu itu menjadi platform menghimpunkan kumpulan peluncur profesional termasuk dari luar Terengganu.
"Terengganu Monsoon Surfing 2020 kali ini turut melibatkan penyertaan atlet Malaysia di peringkat Sukan SEA serta peluncur profesional.
"Penganjuran sukan ini bagi merancakkan lagi sektor pelancongan Terengganu dalam tempoh musim monsun ini sekali gus menjadikan Terengganu khususnya Daerah Marang sebagai satu lagi destinasi pilihan bagi pelancongan dalam dan luar negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Ariffin berkata, pihak penganjur turut menekankan serta memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara bagi peserta dan pengunjung.
"Kita menitikberatkan faktor keselamatan kerana negara masih dalam tempoh pandemik Covid-19. Selain itu, aspek keselamatan semua peserta dan pengunjung turut ditekankan memandangkan sukan ini melibatkan aktiviti di air,” katanya.