SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited meneruskan inisiatif membantu pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan (B40), dengan pemberian cermin mata percuma menerusi program Better. Brighter. Vision di Langkawi, Kedah.
Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata, seramai 221 pelajar terdiri daripada 106 pelajar sekolah rendah dan 115 pelajar sekolah menengah dari pulau peranginan itu menerima manfaat daripada program berkenaan bermula tahun 2019, hasil kerjasama antara TNB dan Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn.
Menurutnya, TNB memahami kekangan pelajar yang mengalami masalah penglihatan untuk mendapatkan cermin mata memandangkan mereka datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan, terutamanya mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.
"Program sumbangan cermin mata percuma ini diperkenalkan TNB tahun lalu bertujuan membantu proses pembelajaran pelajar, sekali gus mendapat manfaat dalam pendidikan.
"Diharapkan sumbangan ini dapat menjadi asbab untuk anak-anak meneruskan pembelajaran dengan jelas dan yakin, demi mengejar cita-cita dan seterusnya mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan.
Nawawi menyampaikan sumbangan itu kepada guru besar dan pengetua dari 16 sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah yang terlibat.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) Kedah, Ahmad Shukri Shafie dan Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek.
Katanya, bagi negeri Kedah tahun ini, program Better. Brighter. Vision turut mendapat kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah melibatkan peruntukan sebanyak RM270,850 dengan keseluruhan 2,000 pelajar menerima manfaat.
Sementara itu, Ahmad Shukri berkata, pada 20 Oktober lalu, seramai 700 pelajar dari tiga daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Kuala Muda/Yan mendapat manfaat daripada program itu.
"Langkah TNB yang berusaha menyediakan cermin mata kepada pelajar terlibat akan membantu mereka untuk menguruskan kehidupan harian dengan lebih baik,” katanya.