BALING - Kerajaan tidak akan lepas tangan dan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dua tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kes itu memerlukan penelitian serta pelbagai proses siasatan selepas Mahkamah Koroner memutuskan kes kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dapat dikenal pasti.
Katanya, semua sedia maklum bahawa inkues yang dibuat di mahkamah sebelum ini memutuskan bahawa punca kematian Muhammad Adib adalah disebabkan tindakan jenayah oleh beberapa orang yang tidak diketahui.
"Apabila ingin mendakwa, seseorang pendakwa raya perlu mengenal pasti pelaku berkenaan. Tetapi dalam kes ini 'verdict' itu mengatakan tiada individu yang diketahui maka menyebabkan pendakwa raya belum dapat mendakwa penjenayah yang terlibat," katanya selepas Majlis Perjumpaan bersama Datuk Bandar dan Yang Dipertua (YDP) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kedah di Pejabat Daerah Baling, di sini pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Kenapa masih nak siasat punca kematian Adib'
Hasil siasatan punca kematian Adib diketahui tidak lama lagi
Pembela gesa PDRM, KDN perjelas kes Allahyarham Adib
Menurutnya, beliau difahamkan Peguam Negara telah meminta polis membuat siasatan lanjut sebaliknya pihak polis mencadangkan suatu inkues baharu diadakan.
"Bagaimanapun setakat ini, tiada inkues baharu dibuat dan pihak polis akan meneliti kembali perkara ini untuk diambil tindakan," katanya.
Tambahnya, Jabatan Peguam Negara belum menerima sebarang laporan hasil siasatan baharu berhubung kes berkenaan.
"Pada masa sama, kerajaan juga bersedia untuk meneliti tindakan sivil yang difailkan keluarga Allahyarham Muhammad Adib bagi menuntut ganti rugi mengenai insiden terbabit.
"Saya pun belum melihat lagi tuntutan sivil oleh keluarga Adib tetapi kita boleh bincang bagi mencari jalan penyelesaian," katanya.
Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.