RANTAU PANJANG - Pasangan pengantin baharu lega apabila tidak perlu mengharungi air banjir ke Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini untuk majlis akad nikah mereka yang berlangsung pada Ahad.
Noraishah Ghazali, 26, dan pasangan, Wan Mohammad Ridhwan Wan Yusoff, 20, bernasib baik apabila mereka mendapat bantuan daripada anggota Pasukan Gerakan AM (PGA) Batalion 7 Kuantan yang secara kebetulan sedang melakukan rondaan banjir di kawasan berkenaan.
Pasangan berkenaan bersama rombongan seramai 20 orang diangkut menggunakan pacuan empat roda kira-kira 600 meter untuk ke masjid berkenaan.
Noraishah berkata, dia bersama pasangan dan keluarga sememangnya sudah bersedia untuk meredah air banjir sedalam 0.3 meter kerana tidak mempunyai pacuan empat roda.
"Semasa kami hendak meredah banjir, tiba-tiba kami disapa oleh anggota PGA yang menawarkan bantuan untuk membawa kami ke masjid menggunakan pacuan empat roda.
"Tanpa berfikir panjang saya dan keluarga terus menerima pelawaan daripada anggota PGA," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Menurutnya, dia dan keluarga terpaksa meneruskan majlis tersebut kerana semuanya telah dirancang dari awal.
"Biasanya banjir akan datang selepas 24 Disember namun kali ini lebih awal dari sebelumnya.
"Kami juga terpaksa berpindah ke rumah kakak di Gual Tinggi selepas rumah kami di Kampung Kubang Rambutan ditenggelami banjir sedalam lebih 1.5 meter," katanya.
Dalam pada itu, Noraishah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada PGA yang telah membantu melancarkan majlis akad nikahnya.
"Alhamdulillah, kira-kira jam 12 tengah hari saya dan pasangan (Wan Mohammad Ridhwan) sah menjadi suami isteri," katanya.
Katanya, disebabkan banjir beliau dan suami mengambil keputusan untuk menangguhkan majlis kenduri.
Sementara itu, Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, khidmat sosial itu merupakan sebahagian daripada tugas pihaknya.
"Kami berbesar hati dapat membantu mempermudahkan urusan akad nikah tersebut," katanya.