KUANTAN - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), di sini menamatkan operasi selepas kesemua 168 pesakit warga asing yang ditempatkan di pusat berkenaan, sembuh dan dibenarkan pulang pada Ahad.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, mereka yang terdiri daripada 158 pesakit Kluster Jalan Genting dibenarkan pulang mulai jam 2 petang dengan menaiki bas yang disediakan kerajaan negeri.
Sementara, baki pesakit di bawah Kluster Kuala yang melibatkan kawasan di pusat bandar Kuantan dibenarkan pulang kira-kira jam 5 petang.
"Pesakit Kluster Jalan Genting dihantar ke Genting Highlands dan akan dijemput oleh majikan mereka yang difahamkan sudah menyediakan tempat tinggal sementara memandangkan tempat tinggal mereka masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya semasa dihubungi di sini pada Ahad.
Mohd Zairasyahli Shah berkata, dengan penutupan itu, pihak bomba akan melakukan proses sanitasi terhadap keseluruhan Sukpa malam ini, manakala pihaknya akan bermesyuarat pada Isnin, berhubung penggunaan stadium tersebut selepas ini.
Beliau berkata, walaupun ditamatkan operasi, Sukpa akan terus diwartakan sebagai PKRC bagi warga asing dan akan kembali beroperasi jika terdapat keperluan berbuat demikian pada masa akan datang.
Sukpa diaktifkan sebagai PKRC pada 10 Disember lalu bagi menempatkan pesakit Covid-19 warga asing berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus ekoran peningkatan kes positif melibatkan golongan tersebut daripada Kluster Jalan Genting di Bentong.
Ia bertujuan untuk tidak mengganggu rawatan dan perkhidmatan hospital kerajaan di Pahang, selain kedudukannya tidak terlalu jauh dengan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) memudahkan pergerakan jika terdapat kes memerlukan rawatan khusus. - Bernama