SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menuntut penjelasan kerajaan Malaysia mengenai status wanita Muslim dari Johor yang didakwa berkahwin mengikut adat Sikh di India.
Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, rakyat kini mempersoalkan keabsahan agama wanita terbabit yang berkahwin dengan kapten hoki dari negara Asia Selatan itu.
"Diberitakan Illi Najwa Saddique berasal dari Johor, berkahwin dengan pasangannya, Manpreet Singh Parwar melalui ritual perkahwinan agama Sikh di rumah ibadat Gurdwara di India.
"Kerajaan India sebelum ini meluluskan undang-undang perkahwinan pasangan berlainan agama apabila mahkamah negara itu pada tahun 2018 membenarkan perkahwinan berlainan agama atas alasan memerangi ‘jihad agama’.
"Namun begitu, perkahwinan pasangan berlainan agama dilarang di Malaysia. Perkara seumpamanya tidak pernah berlaku melainkan kes membabitkan wanita Islam menukar agama untuk berkahwin dengan lelaki bukan Islam,” katanya menerusi kenyataan kepada Sinar Harian pada Ahad.
Terdahulu, beberapa portal melaporkan pasangan Illi Najwa-Manpreet asalnya dijadualkan berkahwin pada April lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana penularan pandemik Covid-19.
Kata Raja Kamarul Baharin lagi, Amanah menuntut pendirian dan tindakan kerajaan serta Jabatan Agama Islam berhubung kebenaran khas perjalanan sewaktu Covid-19 yang membolehkan Illi Najwa terbang dan berkahwin di India.
Tegasnya, setiap perkahwinan di luar kawasan daerah atau mukim pun memerlukan kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam tempatan, apa lagi kalau di luar negara.
"Rakyat Malaysia menuntut pencerahan peristiwa tersebut daripada kerajaan Malaysia.
"Adakah ulama-ulama kerajaan Perikatan Nasional untuk membisu di tengah-tengah kontroversi ini,” soalnya.