MANTAN Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menyambut baik keputusan kerajaan membuka semula sektor sukan dan rekreasi termasuk penganjuran Liga Malaysia (Liga-M) secara berfasa berkuat kuasa 1 Januari ini.
Menurut Zolkples, ia sebagai satu langkah permulaan yang baik apabila kerajaan turut membenarkan kehadiran penonton ke stadium sebagaimana jumlah yang ditetapkan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihak yang berkepentingan perlu memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi bagi mengelakkan sebarang masalah timbul.
"Secara keseluruhannya, ia satu keputusan yang baik oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN). Tetapi ia bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dibuat kerana ini melibatkan keselamatan rakyat.
"Apa pun, MKN telah menunaikan janji untuk membuka beberapa sektor termasuklah sektor sukan secara perlahan-lahan. Jadi sepatutnya semua pihak terlibat mematuhi SOP yang digariskan.
"Saya percaya jika setiap SOP patuhi, lebih banyak lagi kelonggaran akan diberikan. Sekiranya bola sepak dapat melaksanakannya, pastinya lebih mudah untuk ia diikuti oleh sukan-sukan lain selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi termasuk penganjura Liga-M berkuat kuasa 1 Januari ini kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Beliau turut memaklumkan penganjuran kejohanan tempatan dibenarkan dengan kapasiti penonton 10 peratus atau maksimum 4,000 orang tetapi sukan dengan penyertaan lebih 500 peserta seperti larian, berbasikal dan maraton tidak dibenarkan.
Mengambil contoh saingan Liga-M, Zolkples berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) harus memastikan penonton yang memasuki stadium mematuhi SOP dan peraturan ditetapkan.
"Dalam soal ini, FAM dan MFL harus bertindak tegas. SOP harus lebih ketat. Malah, setiap pemain dan pegawai pasukan yang bertanding juga harus mematuhi SOP yang sedia ada,” tegasnya.
Dalam pada itu, Zolkples turut bersetuju dengan larangan pihak kerajaan terhadap peserta atau atlet-atlet dari luar negara khususnya dari negara berisiko hadir ke Malaysia.
"Masih banyak kes (Covid-19) import di negara ini dan kerajaan memerlukan kawalan yang lebih ketat bagi membendung penularannya. Seperti yang saya sebutkan tadi, jika terdapat perubahan ke arah yang lebih baik, tidak mustahil kerajaan membenarkan penyertaan mereka pada masa akan datang,” jelasnya.