'Darah saya darah bola sepak'

Iklan
Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan, Azman Adnan (dua, kiri) dan Pengarah Urusan, Jemz Group Jemizan Abu Bakar (kanan) bergambar bersama pada Majlis Pelancaran Jenama Azman Adnan di Cheras. -Foto Bernama

LEGENDA bola sepak negara, Azman Adnan mahu terus menabur bakti kepada sukan bola sepak selepas bersara pada 2004.

Menurutnya, beliau bersedia untuk mencurahkan pengalamannya dalam industri bola sepak dengan menjadi penasihat kepada pasukan yang mahu menggunakan khidmatnya.

Iklan
Iklan

"Kalau kata tak rindu dengan bola sepak tipulah kerana dah berpuluh tahun saya terlibat dalam bidang bola sepak. Memang orang cakap ‘darah bola sepak’ terutama sekali dengan pasukan Selangor.

"Cuma sekarang, yang mengekang pergerakan saya untuk kembali aktif adalah masalah kecederaan lutut kiri saya yang menyebabkan pergerakan saya terbatas.

Iklan

"Insya-ALLAH kalau selepas pembedahan dan kesihatan mengizinkan, saya akan kembali dalam bola sepak. Tidak kisah sebagai jurulatih, penasihat atau sebagainya kerana jiwa saya memang dalam bola sepak,” katanya dalam sidang media sempena majlis pelancaran rasmi jenama Azman Adnan (AA), pada Sabtu.

Sebelum ini, Azman pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Dollah Salleh mengemudi skuad PDRM bagi musim 2013 sebelum dilantik selaku ketua jurulatih pada musim 2014.

Iklan

Azman kemudiannya turut terlibat melatih skuad Liga-M3, Tun Razak FC pada 2019 dan Ultimate FC tahun ini.

Sementara itu, Azman yang juga bekas penyerang negara mengharapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat memilih pemain import yang berkualiti untuk dijadikan sebagai pemain naturalisasi negara.

"Tidak salah untuk mengambil pemain naturalisasi. Seperti Mohamadou Sumareh memang satu tindakan yang berbaloi mengambilnya bermain bersama pasukan negara.

"Namun, dalam masa sama pemain tempatan juga perlu menonjol dan kalau boleh cuba bersaing dengan pemain naturalisasi ini dalam pasukan negara,” katanya.

FAM dilaporkan sedang mengintai beberapa pemain import yang sudah beraksi selama lima tahun di negara ini untuk dinaturalisasikan sebagai pemain Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Azman menggesa semua pihak memberikan sokongan kepada ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah dalam melaksanakan tugasnya.

Beliau percaya pemilihan Yusri, 44, diputuskan selepas melalui proses penilaian teliti dalam usaha FAM serta MSN memastikan kemajuan skuad muda itu yang bakal dibarisi 30 graduan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari.

"Untuk pemilihan Yusri ada kelebihan dan kekurangan, ada sesetengah pihak suka ada yang tidak suka. Tetapi bagi saya beliau telah dipilih jadi bagilah beliau peluang dan sama-sama kita pantau macam mana beliau merencanakan pemain muda.

"Kalau kata beliau tidak berjaya, kita tukar ganti dengan individu lain. Tetapi yang penting jangan terlalu awal (menghukum), kita belum cuba tetapi sudah bercakap. Jadi kita beri dia peluang dulu," jelasnya.