KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada penduduk Kampung Bantal, Jerantut, Pahang yang berjaya menyelamatkan tiga petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kejadian bot karam di Sungai Tembeling tengah hari semalam.
KKM menerusi hantaran Facebook malam tadi berkata ucapan penghargaan itu disampaikan menerusi Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
"KKM amat menghargai dan menyanjung tinggi tindakan berani itu. Segala kebaikan dan semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh penduduk Kampung Bantal ini harus disuburkan menjadi nilai-nilai murni dalam masyarakat Malaysia.
"Pengorbanan tiga petugas KKM yang terlibat dalam kejadian itu amatlah tinggi dalam melaksanakan tugas dan amanah mereka pada negara ini. Anda semua adalah wira-wira barisan hadapan negara,” kata Muhyiddin.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah semalam yang berlaku di Jeti Klinik Kesihatan Kampung Bantal itu, tiga kakitangan Klinik Kesihatan Kampung Bantal di Taman Negara Jerantut Pahang nyaris lemas apabila bot mereka terbalik dan mereka dibawa arus Sungai Tembeling.
Bot yang membawa penolong pegawai perubatan, pekerja am klinik dan seorang tekong dipercayai mengalami masalah enjin dan terbalik sebelum tersangkut pada pokok di tebing sungai yang menyebabkan semua petugas KKM tersebut hanyut.
Menurut kenyataan itu, penolong pegawai perubatan dan tekong bot sempat berpaut pada dahan pokok berhampiran lokasi kejadian, manakala pekerja am terbabit berpaut pada bot dan dibawa arus sejauh 300 meter sebelum berjaya menyelamatkan diri dengan bergayut pada dahan pokok berhampiran.
Semua mangsa diselamatkan penduduk kampung itu dengan bot berkenaan ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian. - Bernama