KUANTAN - Seorang pesakit kanser maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.25 petang itu, mangsa berusia 55 tahun dari Maran itu ditemui dalam keadaan tertiarap di atas tanah hadapan lobi utama hospital berkenaan dengan beberapa kesan kecederaan di tengkuk dan kepala.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke unit forensik hospital berkenaan untuk proses bedah siasat.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah," katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Noor berkata, berdasarkan keterangan keluarga, mangsa yang menghidap kanser tiroid itu dimasukkan ke HTAA pada 16 Disember lalu dan ditempatkan di wad 4C untuk menjalani rawatan.
"Mangsa menghidap penyakit itu sejak setahun lalu dan kini sudah berada pada tahap empat serta selalu ke hospital untuk menjalani rawatan.
"Keluarga turut memaklumkan mangsa cukup tertekan dan terpaksa menanggung kesakitan akibat penyakitnya itu," katanya.