Pulau Pinang mahu perkasakan infrastruktur komunikasi

Iklan
Zairil mengadakan perbincangan dengan Ketua Pejabat Suruhanjaya MCMC Cawangan Pulau Pinang,Rizal Abd Malek.

GEORGETOWN - Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama menguatkuasakan pemasangan infrastruktur komunikasi sebagai utiliti asas setaraf dengan bekalan air dan elektrik.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri terus komited untuk memastikan penyediaan infrastruktur digital yang menyeluruh dan berkualiti tinggi bagi menampung keperluan normal baharu serta menyokong pemangkin ekonomi digital di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di bawah perancangan strategik Penang Connectivity Master Plan (PCMP), kerajaan negeri telah menggariskan keperluan untuk menguatkuasakan pemasangan infrastruktur komunikasi tetap sebagai salah satu infrastruktur asas yang telah diperuntukkan di bawah Undang-undang Kecil 25 dan 27 di bawah Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah memutuskan agar pihak pemaju kini diwajibkan untuk menyediakan infrastruktur telekomunikasi gentian optik di dalam mana-mana bangunan atau kawasan skim pemajuan baharu di seluruh Pulau Pinang.

Iklan

"Keputusan ini adalah bagi menyokong penggunaan jalur lebar berkelajuan tinggi di Pulau Pinang memandangkan penggunaan wayar jenis 'copper' tidak lagi relevan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Terdahulu Zairil mengadakan perbincangan dengan Ketua Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cawangan Pulau Pinang, Rizal Abd Malek.

Iklan

Zairil berkata, Pulau Pinang sekali lagi menjadi peneraju dan perintis selaku negeri yang pertama yang melaksanakan dasar bagi mengiktiraf infrastruktur fiber gentian optik sebagai utiliti asas, setaraf dengan bekalan elektrik dan air.

Katanya, dasar itu juga selari dengan aspirasi kerajaan Persekutuan melalui pelaksanaan pelan infrastruktur digital iaitu Jalinan Digital Negara atau lebih dikenali sebagai Jendela.

"Penguatkuasaan pemasangan infrastruktur komunikasi ini bukan sahaja menjadi pemboleh (enabler) utama dalam mencapai matlamat ketersediaan kelajuan gigabit yang pertama di Malaysia, tetapi dapat mempercepatkan proses pelaksanaan teknologi capaian 5G yang bakal direalisasikan.

"Dengan pelaksanaan dasar ini, Pulau Pinang bukan sahaja dapat membekalkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang meluas kepada rakyat tetapi juga memangkinkan sektor ekonomi digital yang disasarkan sebagai salah satu industri masa depan yang penting bagi negeri kita ini,"katanya.