ALOR GAJAH - Tindakan seorang wanita yang mahu menahan keretanya dari terus bergerak, 'memakan diri' apabila dia maut terperosok ke bawah kenderaan itu di Solok Air Manggis, Kampung Rembia di sini, petang tadi.
Dalam kejadian lebih kurang jam 2.30 petang tadi, kereta jenis Spectra milik mangsa, Nurfizah Mohd Taufek,41, mengalami kerosakan dipercayai ketika berada di kawasan berbukit.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Asisten Superintendan, K Mahadevan berkata,
kenderaan itu secara tiba-tiba bergerak menuruni kawasan berkenaan sebelum mangsa yang berada di dalam kereta keluar dan terus menahan kereta berwarna silver itu dari arah belakang.
Menurutnya, tindakan mangsa itu menyebabkan dia terjatuh lalu terperosok bawah kereta.
"Operasi menyelamat telah dilakukan termasuk dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah.
"Mangsa yang mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat sebelum dituntut waris mangsa," katanya.
Siasatan bagaimanapun masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.