'Ustaz Budak' didakwa cabul lelaki

Iklan
Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

KOTA BHARU - Seorang ustaz yang juga pengusaha madrasah di Kelantan yang lebih dikenali sebagai 'Ustaz Budak' hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki di sebuah hotel, Rabu lalu.

Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Ibrahim Mohammad Ghulam.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Syamsul Zaman didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun termasuk mencium pipi mangsa pada jam 1.15 pagi, 16 Disember lalu di sebuah bilik hotel dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Iklan

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Siti Atikah Abd Halim.

Terdahulu, Siti Atikah memohon jaminan minimum ditawarkan kerana tertuduh yang juga pengusaha madrasah di Machang perlu menguruskan 150 pelajar.

Iklan

"Pendapatan tertuduh hanya RM2,500 hingga RM3,000 sahaja selain perlu menanggung ibu yang merupakan orang kurang upaya dan enam adik-beradik dengan ada yang masih bersekolah,” katanya.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta sebutan semula kes pada 21 Jan depan untuk serahan dokumen. - Bernama