SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju melanjutkan inisiatif tidak melaksanakan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna domestik di Semenanjung dan Sabah yang mempunyai tunggakan kurang dari enam bulan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2021.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelaksanaan tersebut setelah mengambil kira keperluan untuk meneruskan usaha membantu rakyat dalam suasana ekonomi yang mencabar berikutan impak berpanjangan pandemik Covid-19.
Menurutnya, inisiatif kerajaan itu dilakukan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)
"Kategori pengguna ini akan diberi kemudahan untuk membuat pembayaran secara ansuran selama enam bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021.
"Bagaimanapun, pengguna lain boleh berunding dengan pihak TNB dan SESB untuk membuat pembayaran secara ansuran bagi mengelakkan pemotongan bekalan elektrik sebagaimana diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, dianggarkan sejumlah 6.94 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 500,000 pengguna domestik di Sabah akan layak untuk menikmati faedah tersebut.
Pada masa sama, Shamsul berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) untuk membantu mengurangkan bil elektrik rakyat terutamanya pengguna domestik berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran wabak Covid-19.
Katanya, setakat 31 Oktober 2020, manfaat diskaun bil elektrik di bawah pakej PRIHATIN dan BPE dinikmati oleh 7.66 juta pengguna kategori domestik di Semenanjung Malaysia dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.9 bilion.