KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan terus membangunkan ekosistem yang membolehkan perniagaan berkembang maju dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata tanpa menjadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk dasar pandang dalam dan berfikiran sempit, kerajaan sebaliknya akan terus mengamalkan dasar yang memastikan keadaan pasaran menggalakkan untuk eksport Malaysia.
"Benar, sebagai negara membangun yang mempunyai hubungan global yang kukuh, Malaysia amat yakin terhadap perdagangan dan pelaburan yang bebas, saksama dan terbuka.
"Sebagai perdana menteri, saya mahu memanfaatkan peluang ini untuk menawarkan jaminan sepenuh hati saya bahawa Malaysia telah, sedang dan akan sentiasa menjadi negara yang menyokong perniagaan, properdagangan dan propelaburan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Ekonomi Cina Dunia secara maya pada Isnin.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, berlandaskan kaedah dasar yang betul, langkah pencegahan disasarkan dan idea perkongsian awam-swasta baharu yang jarang berlaku, Malaysia boleh berjaya memerangi pandemik ini dan segera mengatasi kesan krisis ekonomi yang timbul.
"Oleh itu, kita perlu meneroka segala peluang dalam ruang ini, supaya dapat mengupayakan kita dengan pantas bagi menetapkan sistem yang membolehkan kita mencapai keseimbangan di antara keutamaan kesihatan dengan keperluan ekonomi.
"Justeru dalam usaha bersama ke arah keseimbangan yang sukar dicapai ini, amat penting untuk kerajaan di seluruh dunia terus kekal mendukung falsafah dan peraturan asas yang mentadbir urus perdagangan antarabangsa, seterusnya memberikan kepastian dan boleh jangka untuk perniagaan," katanya.
Beliau berkata ia kemudiannya menekankan bahawa dasar perlindungan dan unilateralisme mesti ditangani, membenarkan aliran barangan dan perkhidmatan rentas sempadan tanpa sekatan di samping memastikan gangguan terhadap rantaian bekalan serantau dan global adalah minimum.
Katanya, menyedari China sebagai penyokong utama sistem perdagangan pelbagai hala, menjadi negara yang amat mempengaruhi negara-negara lain untuk bertindak rasional dan sederhana sepanjang krisis Covid-19, menggesa negara-negara lain untuk memastikan langkah kecemasan yang diperkenalkan bagi mengurangkan risiko berkaitan pandemik tidak menjejaskan aliran perdagangan dan pelaburan secara tidak seimbang.
"Sememangnya pandangan vokal China bahawa kita tidak seharusnya menjadikan Covid-19 sebagai alasan untuk dasar mementingkan dalaman dan berfikiran sempit adalah amat senada dengan Malaysia,” katanya.
Muhyiddin turut berkongsi usaha kerajaan menerusi beberapa langkah dan pakej rangsangan ekonomi untuk mengekalkan operasi perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro di Malaysia, selain demi kelangsungan usahawan baharu dalam merangka tindak balas terhadap krisis COVID-19.
Katanya, ia termasuk pakej tambahan bernilai RM10 bilion yang menekankan lagi tumpuan kerajaan dalam mengurangkan kesan Covid-19 ke atas PKS dan perusahaan mikro melalui pelbagai langkah khusus dan insentif meliputi program subsidi upah yang ditambah baik; bantuan kewangan melalui geran dan skim kredit mikro serta pengurangan cukai bersyarat.
"Sebagai tambahan, Belanjawan 2021 yang baharu saja diumumkan juga telah memperuntukkan tambahan pembiayaan kredit mikro sebanyak RM1.2 bilion, yang akan disediakan melalui beberapa institusi kewangan yang telah dikenal pasti.
"Jumlah berkenaan merangkumi RM110 juta di bawah Kemudahan Perusahaan Mikro oleh Bank Negara Malaysia, yang bertujuan menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan warga kerja gig dan mereka yang bekerja sendiri, katanya.
Mengulas mengenai trend aktiviti ekonomi baharu itu, perdana menteri berkata, krisis Covid-19 yang tidak disangka-sangka itu telah menjadi pendorong bagi inovasi, digitalisasi dan penerima gunaan teknologi.
Katanya, beliau juga menyedari permintaan dalam e-pasaran semakin meningkat serta aktiviti dalam sistem e-perbankan, e-dompet dan perkhidmatan logistik lengkap turut rancak.
"Sesungguhnya, ini semua membuktikan perubahan besar dalam DNA perniagaan kita.
"Model teras dan format tradisional mereka terus berkembang kukuh, dan kerajaan perlu bertindak balas terhadap perubahan ini dengan secukupnya, sewajarnya dan secara bijak,” katanya. -Bernama