Bicara kes rogol bekas Exco Perak bermula Mac depan

Iklan
Paul Yong (kanan) keluar dari Mahkamah Tinggi Ipoh selepas hakim menetapkan tarikh perbicaraan kesnya bermula 30 Mac depan.

IPOH - Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan tarikh 30 Mac hingga 9 April tahun depan untuk perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia yang dihadapi bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) Perak, Paul Yong Choo Kiong.

Hakim, Datuk Hashim Hamzah menetapkan tempoh selama sembilan hari itu sejurus Paul Yong, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan disebut semula di hadapannya hari ini.

Iklan
Iklan

Paul Yong juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh didakwa atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya berusia 23 tahun di kediamannya di Meru Desa Park pada 7 Julai 2019 antara 8.15 malam dan 9.15 malam.

Selasa lepas, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan Paul Yong supaya kesnya itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Iklan

Pada masa sama, Peguam, Datuk Rajpal Singh yang mewakili Paul Yong telah membangkitkan isu berkaitan kaedah bukti dan penggunaan Akta Perlindungan Saksi 2009 namun, Hashim memutuskan setiap pendengaran awal akan didengar pada hari pertama perbicaraan.

"Hari ini saya menetapkan tarikh perbicaraan dan perkara lain akan saya dengar pada hari pertama perbicaraan," katanya.

Iklan

Rajpal Singh dalam hujahannya membantah penggunaan Akta Perlindungan Saksi 2009 terhadap mangsa dan saksi serta penggunaan Seksyen 265 (A) Kanun Prosedur Jenayah oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan menerusi pautan video.

Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan memaklumkan pihaknya akan mengemukakan 20 saksi pendakwaan manakala pembelaan memanggil tiga saksi selain memohon untuk menyediakan jurubahasa Indonesia yang boleh berdialek ‘sumbawa’ untuk mangsa sepanjang perbicaraan itu.

Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong ketika itu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak pertama kali didakwa atas pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen Ipoh.