70 polis wanita dikesan hidap virus HPV

Iklan
Asmawati (kanan) menunjukkan alat ujian selepas Program Frontliner Uniting Against Cervical Cancer di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU - Kira-kira 70 anggota dan pegawai wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tiga negeri dikesan menghidap virus human papillomavirus (HPV) yang menjadi antara penyebab kanser pangkal rahim.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad berkata, statistik terbabit dikenal pasti hasil saringan yang dijalankan ke atas 918 polis wanita menerusi Program Frontliner Uniting Against Cervical Cancer untuk warga polis sejak Jun lalu.

Iklan
Iklan

"Program tersebut setakat ini telah diadakan di Polis Kontinjen Kelantan, Kuala Lumpur dan Terengganu serta akan dikembangkan ke seluruh negara.

"Kebanyakan mereka yang dikesan virus HPV ini tidak tahu malah terkejut. Program ini sebenarnya membantu untuk langkah pencegahan dan rawatan mereka.

Iklan

"Program ini diadakan untuk kebajikan warga polis ekoran sehingga kini tiga wanita PDRM telah meninggal dunia akibat kanser pangkal rahim dan serviks dan 10 orang kini dikesan menghidap kanser terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Frontliner Uniting Against Cervical Cancer di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Iklan

Program terbabit dirasmikan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Asmawati berkata, program tersebut diadakan bersama Rose Foundation yang bertujuan memberi kesedaran kepada kaum wanita tentang kepentingan menjalankan pemeriksaan awal dalam mencegah kanser tersebut.

Dalam pada itu, Ayob khan memberitahu, program berkenaan diadakan selama dua hari bermula hari ini di IPK Johor dengan sasaran 300 anggota dan pegawai.

"Saya amat menggalakkan semua kaum hawa PDRM Johor mengambil peluang ini untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan mereka bebas daripada penyakit berkenaan," katanya.