Gantung lesen AP jika bersekongkol dengan kartel daging import haram

Iklan
Dr Ronald Kiandee

SERDANG - Pemegang Permit Import (AP) yang terbukti bersekongkol dengan kartel daging import haram akan dikenakan tindakan tegas termasuk digantung lesen, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Buat masa ini, katanya siasatan berhubung kartel daging import haram itu termasuk sekiranya terdapat pemegang AP dan penjawat awam terlibat sedang dijalankan oleh pihak berwajib.

Iklan
Iklan

"Biar siasatan dibuat dahulu dan apabila ia selesai, tindakan selanjutnya akan diambil ini termasuk menggantung AP sekiranya terbukti bersalah," katanya mengenai tindakan yang akan diambil kepada pemegang AP sekiranya terlibat dalam kartel daging import haram.

Beliau yang ditemui media selepas merasmikan Persidangan Pertanian Digital Kebangsaan (DigAc) 2020 di sini pada Isnin berkata isu penyeludupan daging import haram itu merupakan perkara yang serius dan perlu segera dibanteras.

Iklan

Kiandee dalam pada itu menegaskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa mengaudit daging dan ayam yang akan dibawa masuk ke negara ini bagi memastikan ia berstatus halal.

Media hari ini melaporkan kartel mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui halal dan kualitinya, dipercayai 'membeli' beberapa kakitangan kerajaan termasuk pegawai agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Iklan

Sebelum ini, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku. - Bernama