SEREMBAN - Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Negeri Sembilan di sini juga dibanjiri orang ramai bagi membuat pendaftaran i-Akaun sebelum membuat permohonan i-Sinar.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi pada Isnin mendapati, pengunjung beratur panjang untuk sampai ke kios pendaftaran i-Akaun di bangunan utama KWSP di Jalan Dato' AS Dawood di sini.
Bagi memastikan perjalanan berjalan lancar, KWSP turut meminta bantuan keselamatan daripada polis bantuan dan pengawal keselamatan mereka bagi memantau kehadiran pengunjung yang membanjiri KWSP seawal jam 8 pagi.
Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pekarangan Pejabat KWSP bagaimanapun dilihat sangat dipatuhi apabila setiap kawasan terdapat pegawai KWSP yang akan memastikan SOP sentiasa di jaga terutama penjarakkan fizikal dan pemakaian pelitup muka.
Sementara itu, pengunjung, S Shanti, 40, berkata, dia datang ke KWSP kerana mahu mendaftar i-Akaun.
Menurut suri rumah itu, dia tidak menyangka ramai yang datang ke Pejabat KWSP untuk mendaftar sempena permohonan i-Sinar.
"Tiga tahun lepas saya bekerja, tetapi disebabkan tiada orang nak jaga anak, saya terpaksa berhenti kerja. Hari ini saya datang untuk mendaftar i-Akaun dan kemudian buat permohonan i-Sinar,"katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Shanti berkata, dia bersyukur kerana kerajaan membenarkan pengeluaran daripada akaun satu yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga.